Gambar hiasan
PUTRAJAYA – Petronas menerusi anak syarikat milik penuhnya, Petronas Carigali Sdn Bhd bersama TotalEnergies, Kuwait Foreign Petroleum Exploration Company (KUFPEC) dan PTTEP memeterai perjanjian pengambilalihan kepentingan (FOA) membabitkan medan gas SK410B Lang Lebah dan B14 di luar pesisir Sarawak.
Menurut laporan Berita Harian, perjanjian itu bertujuan menyokong pembangunan sumber gas secara lebih bersepadu di bawah Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) SK410B dan PSC B14.
Selepas penyempurnaan urusan itu, TotalEnergies akan mengambil alih peranan sebagai pengendali bagi kedua-dua medan berkenaan.
Pendekatan bersepadu itu dijangka membolehkan penyelarasan lebih baik antara kedua-dua medan, sekali gus mengoptimumkan perancangan infrastruktur, pembangunan kemudahan dan pengkomersialan sumber, selain meningkatkan kecekapan projek serta nilai jangka panjang untuk Sarawak dan Malaysia.
Selepas penyempurnaan perjanjian FOA, kepentingan penyertaan dalam setiap PSC akan dipegang TotalEnergies sebanyak 30 peratus sebagai pengendali, PTTEP (25 peratus), KUFPEC (25 peratus) dan Petronas Carigali (20 peratus).
Bagaimanapun, penyempurnaan perjanjian itu masih tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa kawal selia berkaitan.
Majlis pemeteraian diadakan pada 1 November 2026 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu bersempena Persidangan dan Pameran Petroleum Antarabangsa Abu Dhabi 2026.
Kerjasama strategik itu mencerminkan komitmen berterusan Petronas untuk membangunkan sumber gas negara secara bertanggungjawab, selain menyokong keselamatan tenaga jangka panjang.


