
KULAI – Orang ramai diingatkan supaya lebih berhati-hati dengan taktik penipuan menggunakan imej janaan kecerdasan buatan (AI) yang memanipulasi kisah menyayat hati bagi meraih simpati serta mengutip derma secara palsu.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pengguna media sosial perlu membuat semakan fakta terlebih dahulu sebelum menyalurkan sebarang sumbangan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.
“Saya tahu netizen kita ramai yang baik hati, mahu bantu orang susah, tetapi jangan biarkan orang jahat salah guna sifat lembut hati kita.
“Jadi berhati-hati dan buat semakan fakta dengan baik,” katanya, seperti dipetik berita tempatan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Nie Ching memaklumkan kementeriannya turut menerima aduan daripada individu yang mendakwa gambar serta nama mereka digunakan tanpa kebenaran bagi tujuan kutipan derma.
Katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius perkara itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya, termasuk menurunkan kandungan berunsur penipuan sekiranya menerima aduan.
Sebelum ini, beberapa hantaran yang dipercayai dihasilkan menggunakan teknologi AI tular di media sosial dengan memaparkan situasi menyedihkan berserta kod QR dan maklumat akaun bank tertentu bagi mendapatkan sumbangan orang ramai.
Bagaimanapun, imej berkenaan mula dipersoalkan pengguna media sosial selepas terdapat beberapa ketidakselarasan serta elemen tidak logik yang menimbulkan keraguan terhadap kesahihannya.



