
KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza terus mengukir kejayaan apabila meraih dua pengiktirafan di peringkat serantau menerusi ASEAN Records dan Asia Records.
Pengiktirafan berprestij itu diberikan susulan kejayaan luar biasa dua konsert berskala mega beliau, iaitu Legacy 30 dan Gema Bumantara yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Siti Nurhaliza, 47, mencipta rekod menerusi kategori Jumlah Penonton Terkumpul Terbesar bagi Dua Konsert Stadium Solo oleh Artis Rakaman Berbahasa Melayu.
Kejayaan itu dicapai selepas kedua-dua konsert berkenaan berjaya menghimpunkan seramai 145,000 penonton, masing-masing menerusi Legacy 30 pada 10 Januari 2026 dan Gema Bumantara pada 17 Oktober 2026, dalam tempoh hanya 10 bulan.
Selain itu, penyanyi tersohor berkenaan turut mencipta satu lagi rekod menerusi kategori Konsert Muzik Tradisional Solo Terbesar dan Paling Ramai Dihadiri oleh Artis Rakaman Wanita.
Pengiktirafan tersebut disampaikan oleh Penasihat Rekod ASEAN dan Asia, Tan Sri Prof Abdul Latiff Abu Bakar pada Malam Apresiasi bagi meraikan kejayaan konsert Legacy 30 dan Gema Bumantara yang berlangsung malam tadi.
Pencapaian itu turut menyusul kejayaan konsert tradisional Gema Bumantara yang berjaya menarik kehadiran 73,000 penonton dalam satu malam.
Menerusi persembahan selama tiga jam itu, Siti mempersembahkan sebanyak 34 lagu tradisional secara solo, selain berkongsi pentas bersama barisan penyanyi jemputan termasuk Haziq Rosebi, Noraniza Idris, Lesti Kejora dan King Nassar.
Penganugerahan dua rekod di peringkat ASEAN dan Asia itu sekali gus menambah satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan seni Siti Nurhaliza, selain memperkukuh kedudukannya sebagai antara figura muzik Melayu yang aktif mengangkat warisan seni tradisional ke pentas lebih luas.



