KLEBANG – Penyokong Pas rela memilih untuk duduk di rumah berbanding keluar mengundi selepas parti itu tidak mempertahankan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, kerusi yang dimiliki oleh Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang lalu.
Penyokong Pas, Mohd Zamri Zakaria, 45, keputusan PN meletakkan calon Barisan Nasional (BN) di kawasan berkenaan menyebabkan akar umbi sepertinya mengambil tindakan protes memberikan undi kepada calon yang bukan daripada parti pilihannya.
Menurut beliau, keputusan pemimpin PN untuk bekerjasama dan mencapai persetujuan pembahagian kerusi tidak semestinya mendapat persetujuan penyokong di peringkat akar umbi dan penyokong gabungan parti tersebut.
“Macam saya, saya terus terang cakap, saya memang Pas. Di DUN Sungai Udang sekarang ini PN tidak letak calon Pas, sebaliknya BN bertanding.
“Jadi saya ini nak undi PN, tetapi PN tidak ada. Tak payahlah mengundi,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP), pada Ahad.
Mengulas lanjut, Mohd Zamri berkata, keadaan itu memperlihatkan perbezaan pendirian antara pemimpin yang boleh mencapai kesepakatan politik dengan penyokong di bawah yang mungkin tidak bersedia menerima keputusan sama.

Katanya, tindakan tidak keluar mengundi boleh menjadi salah satu bentuk protes penyokong yang kecewa apabila parti pilihan mereka tidak diberikan peluang bertanding di kawasan sendiri.
“Golongan ini macam pihak atasan bergabung. Di atas PN bergabung dengan UMNO, tetapi orang di bawah ada yang tidak boleh terima.
“Ada (penyokong Pas) yang berkata, kalau begini keputusannya, baik tak payah pergi mengundi,” katanya.
Bagaimanapun, Zamri tidak mendakwa semua penyokong Pas akan mengambil pendirian sama, sebaliknya mengakui kemungkinan terdapat faktor lain yang turut mempengaruhi keputusan pengundi untuk tidak keluar mengundi.
“Salah satunya sebab bukan calon Pas namun mungkin ada pelbagai sebab-sebab lain yang kita tak tahu sehingga menyebabkan penyokong Pas tidak mahu keluar mengundi,” katanya.
Terdahulu, kerusi DUN Sungai Udang dimenangi Perikatan Nasional (PN) menerusi calon Bersatu, Dr Mohd Aleef Yusof yang memperoleh 6,789 undi dengan majoriti 530 undi, sebelum menyertai Wawasan selepas Bersatu mempunyai konflik dalam parti dan PN.
Bagaimanapun, pada PRN kali ini, BN meletakkan bekas ADUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin untuk bertanding di kerusi berkenaan, sekali gus menyaksikan perubahan wakil parti itu berbanding pilihan raya negeri lalu.
