Gambar hiasan
KUANTAN – Tiga lelaki termasuk seorang penjual buah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merompak kedai emas bersenjatakan parang, Ogos lalu.
Tertuduh, Mohd Noor Mat Ail, 45; Muhammad Farid Rasid, 30; dan Che Rosfaizul Aswadi Che Hamid, 31, didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan menggunakan dua bilah parang di Taman Pandan Damai, kira-kira jam 2 petang, 21 Ogos lalu.
Menurut laporan Berita Harian, pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Fathin Nadhirah Kasim membantah ikat jamin atas alasan kesalahan serius membabitkan kepentingan awam dan risiko melarikan diri, selain tertuduh melawan ketika ditahan.
Bagaimanapun, peguam Nik Muammer Hurrie Mohamad Sukri yang mewakili dua tertuduh memohon ikat jamin minimum dengan alasan anak guamnya belum dibuktikan bersalah.
Beliau berkata, Mohd Noor yang menyara empat anak merupakan pencari nafkah tunggal keluarga, manakala Muhammad Farid mempunyai tanggungan adik orang kurang upaya (OKU).
Che Rosfaizul yang tidak diwakili peguam pula merayu dibenarkan ikat jamin kerana berpendapatan RM1,800 sebagai tukang kimpal dan perlu menyara ibu bapa.
Mahkamah menolak permohonan ikat jamin ketiga-tiga tertuduh dan menetapkan 4 Disember ini untuk sebutan semula kes, serta mengarahkan Che Rosfaizul melantik peguam.
Di luar mahkamah, Nik Muammer Hurrie memaklumkan pihaknya akan merayu keputusan menolak ikat jamin itu.
Terdahulu, empat lelaki dilaporkan menyamun sebuah kedai emas dengan melarikan beberapa dulang barang kemas dianggarkan bernilai RM500,000.


