Gambar hiasan
PUTRAJAYA – Kerajaan sedang meneliti kesesuaian pelaksanaan kawalan pergerakan terhadap pelarian Rohingya di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketetapan itu mengambil kira kepentingan keselamatan dan kedaulatan negara serta hak asasi manusia.
Menurutnya, proses pendataan komuniti pelarian Rohingya di seluruh negara kini berada di fasa pertama membabitkan individu dalam Depoh Tahanan Imigresen (DTI).
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, inisiatif menerusi program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) itu dijangka beralih ke fasa kedua dalam tempoh terdekat.
“Fasa kedua DPP akan memfokuskan kepada pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di luar DTI,” katanya.
Zahid berkata, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri bersama semua kementerian, jabatan, agensi berkaitan dan pihak berkuasa tempatan sedang giat mengadakan sesi libat urus bagi mendapatkan maklum balas serta merancang tindakan bersesuaian bagi menyelaras isu membabitkan golongan itu.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan di portal Parlimen hari ini, bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) mengenai status komuniti Rohingya, termasuk jumlah dikenal pasti, dokumentasi dan pendekatan strategik kerajaan menangani isu berkenaan.

