
KOTA KINABALU – Seramai 100 pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) daripada tujuh batalion di Sabah menamatkan kursus intensif selama tiga bulan bagi memperkukuh kemahiran asas serta ketahanan fizikal dan mental dalam menghadapi cabaran operasi di kawasan sempadan negara.
Komander Briged Sabah PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nor Omar Sappi berkata, kesiapsiagaan anggota amat penting memandangkan kedudukan Sabah yang bersempadan dengan negara jiran dan berdepan pelbagai kemungkinan ancaman terhadap keselamatan serta kedaulatan negara.
Beliau berkata, pegawai dan anggota PGA perlu menguasai kemahiran penggunaan senjata, taktik operasi dan ikhtiar hidup selain memiliki ketahanan fizikal serta mental yang tinggi bagi memastikan tugas dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Penugasan PGA di kawasan perbatasan menuntut ketahanan fizikal dan mental yang tinggi, selain penguasaan kemahiran penggunaan senjata serta taktik operasi.
“Sabah bersempadan dengan negara jiran dan kita tidak boleh mengambil mudah sebarang kemungkinan ancaman yang boleh menjejaskan kedaulatan serta keselamatan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penutupan Kursus Asas PGA Siri 2/2026 di Dataran Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, pada Khamis.
Nor Omar berkata, kursus asas itu merupakan latihan wajib bagi pegawai dan anggota PGA bagi memastikan mereka mempunyai kemahiran serta tahap kesiapsiagaan yang diperlukan sebelum ditempatkan di pos operasi seluruh negeri.
“Peserta turut menjalani latihan merangkumi aspek perundangan, ikhtiar hidup, penggunaan senjata tempur, taktik peperangan serta pembinaan ketahanan fizikal dan mental.
“Briged Sabah PGA mempunyai 62 pos operasi di seluruh Sabah, termasuk 22 pos di kawasan pulau yang berdepan cabaran tersendiri, khususnya dari segi kemudahan asas dan keadaan persekitaran penugasan.
“Keadaan tersebut menuntut anggota mempunyai ketahanan fizikal dan mental yang tinggi bagi membolehkan mereka melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan dalam apa jua keadaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Komandan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kota Kinabalu atas kejayaan menganjurkan kursus berkenaan, termasuk meningkatkan kapasiti penyertaan daripada 60 kepada 100 peserta.
“Dua siri kursus yang dilaksanakan tahun ini memberi peluang kepada lebih ramai anggota mengikuti latihan intensif berkenaan.
“Penambahbaikan silibus juga perlu dipertimbangkan supaya latihan sentiasa selari dengan keperluan operasi serta perkembangan teknologi semasa, termasuk kemungkinan penerapan kecerdasan buatan (AI) dalam latihan yang bersesuaian,” jelasnya.
Beliau turut berharap pegawai pemerintah setiap formasi meneruskan latihan secara berterusan bagi memperkemas kemahiran, menggilap bakat dan mengekalkan tahap kompetensi anggota selepas menamatkan kursus asas.
“Usaha itu penting bagi memastikan anggota PGA sentiasa bersedia menghadapi cabaran penugasan demi memelihara keselamatan serta kedaulatan negara,” tegasnya.


