Dr Fuziah Salleh
PUTRAJAYA – Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) bukan perkara baharu dalam landskap politik negara, malah Pakatan Harapan (PH) pernah melaksanakan kerjasama politik serupa pada 2021.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, PH sebelum ini menandatangani Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik bersama kerajaan ketika itu bagi memastikan kestabilan politik dan kelancaran pentadbiran negara.
Menurutnya, kerjasama politik seperti itu mewujudkan situasi menang-menang kepada semua pihak yang terlibat demi kepentingan rakyat.
“Pihak yang menandatangani perjanjian mendapat manfaat, manakala kerajaan memperoleh kestabilan untuk melaksanakan agenda reformasi serta pembangunan negara.
“Namun, pemenang paling besar mestilah rakyat, kerana akhirnya setiap persefahaman politik perlu diterjemahkan kepada manfaat dan kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, seramai enam Ahli Parlimen Bersatu diketuai Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin memeterai CSA dengan Kerajaan MADANI bersama tujuh anggota Parlimen lain dalam satu pertemuan di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.
Pemeteraian memorandum itu melibatkan kerajaan Persekutuan yang diwakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dengan disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said serta Penasihat Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Dua hari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang boleh diberikan menerusi CSA, sama seperti perjanjian yang dimeterai dengan pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika beliau menjadi Ketua Pembangkang.


