TAWAU – Makmal Patologi Anatomik Hospital Tawau mencipta pencapaian baharu dalam perkhidmatan kesihatan di Pantai Timur Sabah apabila mula beroperasi bagi menyediakan kemudahan diagnosis penyakit menerusi pemeriksaan tisu badan manusia.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, kemudahan ini akan membantu mempercepatkan proses diagnosis serta perancangan rawatan pesakit sekali gus memperluas akses pesakit kepada perkhidmatan diagnostik khusus di wilayah berkenaan.
Beliau berkata, kemudahan yang dilengkapi peralatan terkini serta kepakaran dua pakar patologi itu membolehkan pemeriksaan tisu, termasuk bagi mengesan jenis kanser, dilakukan tanpa perlu menghantar sampel ke Kota Kinabalu atau Kuala Lumpur.
“Sebagai contoh, jika pesakit menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan dalam usus, sampel tisu berkenaan akan diperiksa bagi menentukan sama ada ketumbuhan itu kanser atau sebaliknya.
“Melalui ujian histopatologi, diagnosis dapat dilakukan dengan lebih cepat dan pakar perubatan boleh menentukan rawatan yang lebih khusus mengikut jenis penyakit pesakit,” katanya selepas merasmikan Perkhidmatan Patologi Anatomik di Hospital Tawau, pada Khamis.
Menurutnya, perkhidmatan patologi anatomik amat penting untuk mengenal pasti penyakit melalui pemeriksaan tisu badan manusia khususnya sampel ketumbuhan yang dikeluarkan menerusi pembedahan.
“Pengesanan tepat jenis kanser membolehkan pakar merancang rawatan bersesuaian, termasuk kemoterapi yang disasarkan mengikut keperluan pesakit.
“Dengan adanya perkhidmatan ini di Tawau, kita berharap pesakit khususnya di pantai timur Sabah, mendapat diagnosis lebih segera dan rawatan boleh dirancang tanpa kelewatan yang tidak perlu,” ujarnya.


