
KUNDASANG – Penghayatan terhadap makna sebenar kewarganegaraan penting dalam membentuk rakyat yang mempunyai keyakinan, semangat cinta dan kesetiaan kepada negara, sekali gus memelihara keamanan, memperkukuh perpaduan serta mempertahankan kedaulatan negara.
Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Milus Alu @ Abd Wahab berkata, kecintaan terhadap negara perlu dihayati sepenuhnya dan bukan sekadar dizahirkan melalui nyanyian lagu Negaraku atau mengibarkan Jalur Gemilang.
“Selama ini kita melihat bendera, menyanyikan lagu Negaraku dan menaikkannya, tetapi belum tentu ia menyentuh lubuk hati kita.
“Di sebalik warna dan corak bendera itu, terdapat makna penting yang mesti kita pertahankan sebagai warganegara,” katanya berucap pada Majlis Penutup Kursus Kenegaraan Malaysia MADANI JKOM Zon Sabah di Pusat Latihan Kenegaraan Kundasang, pada Rabu.

Beliau berkata, kepelbagaian kaum dan latar belakang masyarakat di Sabah perlu diurus dengan baik bagi memastikan keharmonian dan kestabilan negara terus terpelihara.
Katanya, keupayaan Malaysia mengekalkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum juga merupakan satu kekuatan yang perlu dipertahankan bersama.
“Kalau kita tidak mempunyai kefahaman, keyakinan dan kecintaan kepada negara, perkara ini boleh menghancurkan kita,” ujarnya.
Mengenai kursus itu, Milus menegaskan agar Pegawai Komunikasi JKOM bukan sahaja bertanggungjawab mengenal pasti sebarang isu, sebaliknya maklumat mengenai dasar dan inisiatif kepada masyarakat perlu disampaikan secara jelas, tepat dan berkesan.
“Gunakan ilmu yang dituntut dan dibekalkan di pusat latihan ini dengan sebaiknya untuk kita melaksanakan tugas dengan lebih cemerlang,” katanya.
Terdahulu, seramai 34 pegawai JKOM Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan menyertai Kursus Kenegaraan Malaysia MADANI yang berlangsung selama empat hari di pusat latihan terbabit.



