
KUCHING – Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan satu sindiket pecah kubur dan curi di sekitar daerah Miri selepas menahan sembilan lelaki tempatan dalam satu operasi khas.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Komisioner Polis (DCP) Saifullizan Ishak berkata, kesemua suspek berusia antara 16 hingga 73 tahun itu ditangkap oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri menerusi operasi yang dijalankan bermula 11 hingga 17 Oktober lalu.
Menurut beliau, kejayaan tangkapan berkenaan sekali gus berjaya menyelesaikan sebanyak 15 laporan kes pecah kubur yang dilaporkan berlaku di Daerah Miri.

“Hasil semakan rekod jenayah lampau mendapati tiga daripada suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek didapati negatif dadah.
“Pihak polis turut merampas pelbagai barangan kes bagi membantu siasatan termasuk tukul besi berhulu hijau, pemutar skru, pelbagai barangan kemas, duit syiling lama, serta beberapa salinan resit hotel dan resit pembelian,” katanya semasa sidang media di sini, pada Selasa.
Saifullizan menegaskan, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 297 Kanun Keseksaan kerana menceroboh tempat perkuburan.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga satu tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Foto: Bilik Berita CATS



