AYER KEROH – Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) mengisytiharkan ‘perang’ terhadap aplikasi navigasi Waze dengan turut menyeru rakyat memboikot penggunaannya secara total, seperti kempen menolak produk Israel yang lain.
Ketua Pengarah JKOM, Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata, semua pihak dan masyarakat seharusnya bersatu menyokong langkah itu dan tidak menjadikan larangan penggunaan Waze dalam kalangan penjawat awam sebagai polemik politik.
Menurut beliau, situasi konflik di Asia Barat ketika ini menuntut Malaysia lebih berhati-hati terhadap penggunaan aplikasi yang dilihat mempunyai risiko berkaitan keselamatan maklumat peribadi.
“Dalam keadaan perang antara Amerika dengan Iran tengah berlaku dan Israel pun terlibat. Jadi dalam keadaan krisis Timur Tengah, bagi saya tindakan kerajaan sangat tepat dan andai kata ditanya saya, sepatutnya tidak ada protes.
“Sepatutnya seluruh rakyat Malaysia kalau tanya saya, kita kena isytihar boikot terhadap produk Waze sebagaimana kita boikot produk-produk Israel lain.
”Justeru, JKOM setuju isytihar boikot terus produk Waze dan rakyat Malaysia kena sepakat seperti mana kita boikot produk-produk Israel yang lain. Itu sebagai tanda signal yang jelaslah, Malaysia menolak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada The Malaysia Press (TMP) ketika ditemui pada Program MADANI Kita (PMK) Komuniti Ayer Keroh@Hang Tuah Jaya di Dewan Serbaguna PPR Sungai Putat, pada Ahad.
Mohd Hisyamuddin turut menggesa supaya tuduhan dan sindiran terhadap kerajaan berhubung isu berkenaan dihentikan, dengan menegaskan bahawa perbahasan sepatutnya memberi tumpuan kepada keselamatan data pengguna.
“Menyindir kerajaan kononnya tindakan ini tidak baik bagi saya tidak tepat kerana apa yang kerajaan buat sekarang ni adalah langkah yang proaktif berdasarkan situasi semasa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyangkal dakwaan aplikasi TuJu mempunyai kaitan dengan kepentingan politik, sebaliknya rakyat Malaysia bebas memilih aplikasi navigasi yang bersesuaian, selain aspek keselamatan data dan privasi perlu diberikan keutamaan.
“Rakyat Malaysia ada banyak pilihan, dan pilihan itu terserah pada rakyat Malaysia. Yang penting data peribadi dan privasi kita tidak didapat ke tangan Yahudi, Israel laknatullah.
“Tuduhan dan fitnah termasuk sindiran kepada kerajaan perlu dihentikan kerana isu yang berlaku adalah isu keselamatan data peribadi kita sebagai pengguna.
“Sepatutnya, kena sepakat isytihar boikot terus produk Waze ni bersama dengan kerajaan dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kita tak perlu berpolemik dalam tajuk ini lagi bagi saya,” katanya.




