AYER KEROH – Lebih 3,000 masyarakat membanjiri Program MADANI Kita (PMK) Bersama Komuniti Ayer Keroh@Hang Tuah Jaya anjuran Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) mempamerkan isyarat bahawa rakyat di Melaka bersama kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Pengarah JKOM, Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata, jumlah kehadiran itu menunjukkan sambutan menggalakkan terhadap program yang membawa mesej Kerajaan MADANI terus kepada rakyat.
Beliau memaklumkan, kehadiran yang memberangsangkan itu memberi gambaran positif terhadap usaha kerajaan mendekati rakyat menerusi program di peringkat akar umbi.
“Kehangatan kehadiran yang sudah mencapai angka 3,000 lebih adalah signal yang jelas dan baik yang kita terima daripada rakyat di sekitar kawasan ini.
“Kami nak bawa mesej daripada Putrajaya terus ke DUN Ayer Keroh, PPR Sungai Putat dan Hang Tuah Jaya supaya kita dapat lihat kejayaan-kejayaan Kerajaan Malaysia dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim rapat berakar umbi dengan kita,” katanya ketika berucap pada program tersebut, pada Ahad.
Beliau yang juga dikenali sebagai Sham Ghaz berkata, penganjuran program itu antara usaha memastikan maklumat mengenai dasar dan pencapaian kerajaan dapat disampaikan secara langsung kepada masyarakat, khususnya di kawasan DUN Ayer Keroh dan Hang Tuah Jaya.
“Angka yang baik, satu signal yang jelas bahawa rakyat, penjawat awam Sungai Putat bersama Kerajaan Malaysia MADANI,” katanya.
Terdahulu, Program MADANI Kita Bersama Komuniti Ayer Keroh@Hang Tuah Jaya yang telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Adam Adli Abd Halim
merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk mendekati masyarakat, memperluas akses kepada perkhidmatan awam serta memastikan pelbagai inisiatif kesejahteraan rakyat dapat dimanfaatkan secara langsung oleh komuniti setempat.
Penglibatan 33 jabatan, agensi dan rakan pempamer mencerminkan komitmen serta kerjasama strategik pelbagai pihak dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih mudah diakses, menyeluruh dan responsif
terhadap keperluan rakyat.
Menerusi pendekatan perkhidmatan setempat, pengunjung berpeluang mendapatkan pelbagai kemudahan termasuk Jualan Rahmah MADANI, Jualan Agro MADANI, pengagihan Bakul Rahmah MADANI, pemberian topi keledar percuma dan anak pokok, selain perkhidmatan gunting rambut serta pertukaran minyak hitam motosikal secara percuma.
Selain itu, terdapat juga perkhidmatan terus kepada komuniti seperti pemeriksaan kesihatan dan pergigian, semakan eKasih, pendaftaran MyDigital ID, semakan Wang Tak Dituntut serta khidmat penerangan dan konsultasi secara terus daripada jabatan dan agensi yang terlibat.
Bagi menggalakkan penglibatan masyarakat daripada pelbagai lapisan usia, pelbagai aktiviti turut dianjurkan termasuk NADI E-Sukan, Street Soccer MADANI Kita, sukan rakyat, pertandingan mewarna, peragaan busana kanak-kanak, persembahan Dondang Sayang, kuiz santai serta cabutan bertuah,
Di samping itu, ada juga aktiviti kemasyarakatan, sesi interaktif kenegaraan dan perkongsian bersama agensi turut dilaksanakan sebagai platform untuk meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap dasar, perkhidmatan serta inisiatif kerajaan yang disediakan demi kesejahteraan rakyat.
Penganjuran PMK bukan sekadar membawa perkhidmatan kerajaan lebih dekat kepada rakyat, malah menjadi platform komunikasi dua hala yang membolehkan masyarakat menyuarakan pandangan, berkongsi keperluan serta mengemukakan maklum balas secara langsung kepada jabatan dan agensi berkaitan.




