‘Jangan angkuh seperti dinosaur’, amaran buat UMNO di Kuala Linggi

SESEBUAH peradaban atau organisasi yang bertamadun tidak pernah dibina di atas keangkuhan generasi dan sebaliknya ia tertegak di atas landasan kefahaman bahawa setiap zaman membawa hikmah, cabaran, dan dinamika yang berbeza.

Namun, dalam kancah politik tanah air yang serba mencabar, benteng ego serta prasangka sering kali menjadi penghalang utama kepada penerimaan pandangan dan kepimpinan anak muda oleh golongan yang lebih berumur.

UMNO mahupun parti veteran lain tidak seharusnya bersikap angkuh seperti dinasour yang enggan berubah, sedangkan persekitaran dan zaman sudah lama bergerak ke hadapan.

Keangkuhan seperti ‘dinasour’ yang memandang remeh keupayaan angkatan muda hanya akan memusnahkan parti itu sendiri apabila pupus ditelan arus pemikiran baharu.

Skeptikal sedemikian perlu dileburkan dengan kadar segera kerana pada hakikatnya, generasi veteran dan anak muda saling memerlukan ibarat akar dan pucuk pada sebatang pokok.

Tanpa akar yang kukuh dan mendalam, pokok tidak akan mampu berdiri tegap meredah taufan, manakala tanpa pucuk yang segar, pokok tersebut tidak akan mampu bertunas mahupun membuahkan hasil.

Bagi membolehkan golongan berumur menerima pandangan anak muda dengan dada terbuka, anjakan paradigma yang mendalam perlu berlaku dalam budaya bermasyarakat.

Persepsi dangkal yang menyamakan usia muda dengan ‘kementahan’ wajar dikikis serta hidup golongan veteran memang amat berharga, tetapi ilmu pengetahuan moden dan perspektif baharu yang dibawakan oleh anak muda tidak boleh dipandang sebelah mata.

Kematangan sebenar seseorang yang berumur diukur menerusi kesediaannya mendengarkan pandangan baharu tanpa praprasangka, sekali gus mewujudkan persilangan keperluan yang mengadunkan kebijaksanaan orang tua bersama keupayaan teknikal dan daya inovasi anak muda.

Kelainan ini menjadi amat relevan apabila melihat perkembangan politik di DUN N.01 Kuala Linggi apabila Pakatan Harapan (PH) menerusi Parti Amanah Negara (Amanah) mengetengahkan Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah atau Mukhlis Mubin seorang anak muda tempatan berusia 23 tahun sebagai taruhan calon pilihan raya.

Tindakan sesetengah pihak terutamanya daripada kubu UMNO yang cuba memandang rendah keupayaan Mukhlis Mubin merupakan satu kesilapan strategi yang nyata.

Beliau merupakan seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), satu kelayakan akademik berprestij yang membuktikan keupayaan intelek serta kefahaman mendalam beliau terhadap struktur perundangan dan tatakelola pentadbiran negara.

Lebih menyedihkan, kempen politik tempatan turut dicemari dengan tohmahan berbaur perlecehan peribadi apabila ada naratif dan dakwaan daripada penyokong serta pihak lawan yang tergamak melempar tohmahan dengan menggelar beliau sebagai calon “Rohingya” semata-mata atas faktor nama atau latar belakang keturunan.

Taktik politik label dan serangan sebegini bukan sahaja mencerminkan sikap tidak matang, malah menyorot ketidakmampuan pihak penentang untuk menepis tawaran wawasan serta kelayakan intelek yang dibawakan oleh calon muda ini.

Memperlekehkan identiti seorang anak tempatan yang sah demi meraih mata politik murahan ialah amalan politik feudal yang sewajarnya dilupuskan.

Pada akhirnya, kematangan pengundi dan parti politik di Kuala Linggi tidak harus diukur daripada angka umur calon semata-mata, melainkan daripada kejituan gagasan dan integriti yang dipersembahkan.

Pihak UMNO perlu menyedari bahawa sikap angkuh seperti dinasour dan tindakan meremehkan calon muda berpendidikan tinggi undang-undang sambil menyebarkan label perkauman yang sempit ini hanya akan menjauhkan pengundi muda Gen Z dan Milenial daripada mereka.

Sudah sampai masanya kepimpinan veteran dan idealisme anak muda disatukan demi memandu Kuala Linggi ke arah kemajuan yang lebih bersivil dan bertamadun.

Related Posts

PRN Melaka: Mampukah BN kekal dominan, PH luas pengaruh?

PERSAINGAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini bukan sekadar pertandingan antara dua parti yang bekerjasama di peringkat Persekutuan. Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) masing-masing mengumumkan 21 calon…

Lebih lanjut

teruskan membaca
20 daripada 26 subsidiari BBN rugi, kerajaan Terengganu perlu jelaskan pelan pemulihan

PRESTASI kewangan 26 syarikat subsidiari milik Badan Berkanun Negeri (BBN) Terengganu bagi 2024 menimbulkan persoalan serius tentang keberkesanan pemantauan dan hala tuju entiti berkaitan kerajaan negeri, selepas 20 daripadanya atau…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Warisan layang-layang perlu terus dipelihara generasi muda – Hasbi

Warisan layang-layang perlu terus dipelihara generasi muda – Hasbi

Kewibawaan Akmal dipersoal, ramai mula sokong Ayu di Merlimau

Kewibawaan Akmal dipersoal, ramai mula sokong Ayu di Merlimau

Pelajar Tingkatan Enam terima elaun mulai semester pertama

Pelajar Tingkatan Enam terima elaun mulai semester pertama

“Keluar sahaja daripada BN” – DAP cabar MCA

“Keluar sahaja daripada BN” – DAP cabar MCA

PMK dibanjiri masyarakat, cerminan sokongan kepada Kerajaan MADANI

PMK dibanjiri masyarakat, cerminan sokongan kepada Kerajaan MADANI

‘Jangan angkuh seperti dinosaur’, amaran buat UMNO di Kuala Linggi

‘Jangan angkuh seperti dinosaur’, amaran buat UMNO di Kuala Linggi