
KUANTAN – Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Pantai Timur perlu besedia merebut peluang ekonomi yang bakal muncul dengan pengoperasian Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Disember ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ECRL bukan sekadar projek pengangkutan, malah menjadi pemangkin ekonomi yang akan merancakkan sektor pelancongan, logistik, perdagangan dan perkhidmatan di Pantai Timur.
Menurutnya, limpahan ekonomi daripada projek mega itu akan membuka ruang luas kepada usahawan tempatan, khususnya dalam sektor makanan dan minuman, penginapan, pengangkutan, pembekalan barangan dan perkhidmatan sokongan.
“ECRL akan memendekkan masa perjalanan dan memudahkan orang ramai datang ke Pantai Timur.
“Apabila mereka datang, Pahang kena menawarkan sesuatu. Kalau mereka datang tetapi tidak dapat melihat apa-apa, tidak ada maknanya.
“Saya harap usahawan Bumiputera buat persediaan dari sekarang, tingkatkan mutu perkhidmatan dan pastikan produk mampu memenuhi permintaan pasaran.
“Kita mahu PMKS tempatan bukan sekadar menjadi pemerhati, tetapi menjadi penerima manfaat dan penggerak pertumbuhan ekonomi Zon Timur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Turun Padang Penasihat Khas Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan Bersama Usahawan Bumiputera Zon Timur sempena Karnival Aspirasi Pahang 1st Daerah Kuantan di Kompleks Belia dan Sukan, di sini, hari ini.
Wan Rosdy yang juga Penasihat Khas PMKS Kebangsaan berkata, Pahang mempunyai kekuatan tersendiri untuk menarik pengunjung menerusi keindahan pulau, kepelbagaian makanan tradisional dan destinasi ekopelancongan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan usahawan berkaitan perlu sentiasa peka dengan perubahan pasaran dengan menjaga kualiti produk, menambah baik perkhidmatan dan berani meneroka peluang baharu.
Dalam perkembangan lain, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri akan meneruskan penganjuran karnival usahawan di seluruh Pahang berikutan sambutan menggalakkan dan manfaat besar kepada usahawan baharu.
Menurutnya, karnival berkenaan bukan sahaja menjadi platform mempromosi produk, malah menjadi pusat rujukan bagi mereka yang baru berjinak dalam dunia perniagaan untuk mendapatkan maklumat, bimbingan dan akses kepada bantuan pembiayaan modal.
“Kadang-kala ada produk yang kita tidak pernah lihat sebelum ini. Di sinilah usahawan baharu boleh bertanya cara memulakan perniagaan kerana kita ada agensi yang sedia membantu.
“Program seperti ini juga memberi peluang kepada keluarga meluangkan masa bersama sambil mendapatkan pengetahuan baharu,” katanya.
Beliau memaklumkan, selepas Kuantan, karnival usahawan akan diteruskan di tiga daerah lagi iaitu Bentong, Cameron Highlands dan Lipis.





