
NANA MOHAMAD & EVELINE B.
SIBU – Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM7.4 bilion bagi melaksanakan 46 projek berkaitan air di Sarawak menerusi Pelan Rolling Pertama (RP1) Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), termasuk projek tebatan banjir, pemuliharaan sungai dan pengawalan hakisan pantai.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM5.8 bilion melibatkan projek di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Menurutnya, keseluruhan peruntukan itu merangkumi 33 projek sambungan dan 13 projek baharu bagi memperkukuh pengurusan sumber air serta mengurangkan risiko bencana di negeri ini.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM5.8 bilion adalah projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) seperti tebatan banjir, pemuliharaan sungai dan pengawalan hakisan pantai.
“Pelaksanaan projek ini diharap dapat memperkukuh keterjaminan sumber air, mengurangkan risiko bencana dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 2, di sini pada Sabtu.
Fadillah berkata, kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) turut memberikan perhatian kepada pengurusan sungai secara menyeluruh menerusi pelaksanaan Kajian Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM).
Menurutnya, kajian bagi Lembangan Batang Rajang yang merupakan satu daripada sembilan lembangan sungai di Sarawak dijangka siap pada Ogos 2027.
“Kajian IRBM Batang Rajang ini dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2027.
“Hasil kajian ini akan menyediakan pelan tindakan komprehensif bagi membantu kerajaan Sarawak merancang pengurusan sungai secara lebih bersepadu, sistematik dan berterusan,” katanya.
Dalam pada itu, Fadillah menegaskan bahawa usaha pemeliharaan sungai memerlukan kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan, kerajaan Sarawak, agensi pelaksana, pihak berkuasa tempatan dan masyarakat.
Menurutnya, penglibatan komuniti, sektor industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta generasi muda penting bagi memastikan sungai terus dipelihara sebagai sumber kehidupan dan pembangunan ekonomi.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak membuang sampah ke dalam sungai, selain melaporkan sebarang kegiatan pencemaran kepada pihak berkuasa berkaitan.
Pada masa sama, Fadillah menggalakkan masyarakat memanfaatkan kemudahan Denai Sungai Kebangsaan (DSK) sebagai kawasan rekreasi, pendidikan alam sekitar dan tarikan ekopelancongan.
Sambutan bertemakan Sungai dan Alur dalam Komuniti Kita itu turut menyaksikan penyampaian Anugerah Khas Sumber Air (AKSA) 2026 sebagai pengiktirafan kepada komuniti yang menunjukkan komitmen terhadap usaha pemeliharaan dan pemuliharaan sungai.
Majlis berkenaan dirasmikan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Pada majlis sama, Abang Johari turut menyempurnakan peluncuran Garis Panduan Pembangunan Dalam Koridor Sungai serta penyerahan Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Kampung Semarang, Pusa, Betong.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyerahan Denai Sungai Kebangsaan Sungai Pesang di Kampung Pesang dan Denai Sungai Kebangsaan Sungai Serian di Kampung Stabut, kedua-duanya di Serian.
Selain itu, penyerahan Kajian Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) bagi Sungai Samarahan, Sungai Sibuti dan Sungai Saribas turut dilaksanakan.
Turut diadakan penyampaian Anugerah Peserta Terbaik Ekspedisi Sumber Air Negara (EKSAN) dan Anugerah Khas Sumber Air (AKSA) 2026.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing; Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee serta Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee.







