
LIMBANG – Sebanyak RM700,000 diperuntukkan Kementerian Digital menerusi Program Kampung Angkat MADANI (KAM) dan Sekolah Angkat MADANI (SAM) 2026 bagi meningkatkan kemudahan asas, akses teknologi serta kualiti pendidikan di daerah ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM500,000 disalurkan kepada Kampung Belimbing Melugus bagi menyediakan kemudahan yang memberi manfaat kepada 29 isi rumah.
Menurutnya, peruntukan itu merangkumi pemasangan lampu solar LED, penyediaan kelengkapan sokongan kampung serta peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan penduduk.
“Pemasangan lampu solar LED ini bukan sahaja menyinari malam dan meningkatkan keselamatan persekitaran, malah membuktikan komuniti kita juga mampu memanfaatkan teknologi hijau yang mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI Kementerian Digital 2026 di Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan (SK) St Edmund, pada Sabtu.
Hasbi berkata, program berkenaan turut melibatkan peruntukan RM100,000 kepada institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tempatan bagi melaksanakan kerja pemasangan peralatan elektrik di Kampung Belimbing Melugus.
Menurutnya, pendekatan itu bukan sahaja membantu meningkatkan kemudahan komuniti, malah memberi peluang kepada golongan belia memperoleh pengalaman dan kemahiran teknikal melalui pelaksanaan projek sebenar.
Dalam pada itu, beliau berkata, SK St Edmund turut menerima peruntukan RM100,000 menerusi Program SAM bagi memperkukuh kemudahan pengajaran dan pembelajaran berasaskan teknologi digital.
Antara kemudahan yang disediakan termasuk pemasangan skrin LED di dewan, pembekalan papan pintar serta penyediaan titik capaian tanpa wayar bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran lebih moden dan interaktif.
Menurutnya, program berkenaan turut memberi pendedahan kepada murid dan komuniti setempat mengenai kecerdasan buatan (AI), literasi digital, keselamatan siber serta pencegahan penipuan dalam talian.
“Dalam dunia yang semakin bergantung pada teknologi, pengetahuan digital perlu disertai kesedaran tentang risiko dan tanggungjawab penggunaannya.
“Usaha mendidik masyarakat supaya lebih berwaspada ketika berada di alam digital amat penting bagi melindungi diri, keluarga dan komuniti daripada ancaman siber serta penipuan dalam talian,” katanya.
Hasbi turut menyambut baik penganjuran Jualan RAHMAH MADANI yang memberi peluang kepada penduduk mendapatkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan.
Menurutnya, pembangunan komuniti perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan memberikan perhatian kepada kemudahan asas, pendidikan, penguasaan teknologi serta kesejahteraan masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menyeru penduduk supaya menjaga dan memanfaatkan kemudahan yang disediakan bagi memastikan manfaat program berkenaan dapat dinikmati secara berterusan.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara kerajaan, pemimpin masyarakat dan komuniti setempat dalam memastikan pembangunan luar bandar dapat dilaksanakan secara berkesan.







