
TENOM – Kerajaan Negeri Sabah menyasarkan peningkatan kadar sara diri (SSR) padi dan beras daripada 22 peratus kepada 40 peratus menjelang 2030 menerusi usaha memperkukuh pengeluaran makanan tempatan dan keterjaminan bekalan negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sasaran itu merupakan antara keutamaan kerajaan dalam mengurangkan kebergantungan Sabah terhadap bekalan makanan dari luar, selain menangani cabaran perubahan iklim, ketidaktentuan pasaran global dan peningkatan kos pengeluaran.
“Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) bersama jabatan serta agensi berkaitan perlu memberi tumpuan kepada lima pendekatan utama bagi menangani cabaran yang dihadapi peladang, penternak dan nelayan.
“Pendekatan itu merangkumi pengukuhan bantuan kepada pengusaha, penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan asas pertanian, peluasan penggunaan teknologi moden, pengukuhan akses pasaran serta rantaian bekalan dan peningkatan daya tahan terhadap perubahan iklim serta risiko pengeluaran.
“Bantuan yang berkesan ialah bantuan yang menjawab masalah sebenar, sampai kepada golongan sasaran dan menghasilkan perubahan yang boleh diukur,” katanya pada Majlis Perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Sabah Tahun 2026, di sini, pada Sabtu.
Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun.
Hajiji berkata, peningkatan kos baja, makanan ternakan, benih, bahan api dan peralatan, selain kekangan infrastruktur, kemudahan penyimpanan sejuk, pengangkutan hasil serta akses pembiayaan terus menjadi cabaran kepada sebahagian pengusaha.
“Kementerian dan agensi berkaitan perlu terus mendekati golongan berkenaan di lapangan bagi mendengar permasalahan mereka serta mencari penyelesaian yang bersesuaian mengikut keperluan setiap daerah.
“Selain padi dan beras, kerajaan turut memberi tumpuan kepada peningkatan pengeluaran sayur-sayuran, buah-buahan, daging, telur, ikan dan produk makanan lain yang mempunyai permintaan tinggi dalam kalangan rakyat.
“Sektor pertanian akan terus menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030, bersama-sama sektor perindustrian dan pelancongan,” ujarnya.
Hajiji berkata, pembangunan sektor pertanian, penternakan dan perikanan perlu beralih daripada kaedah tradisional kepada sistem pengeluaran lebih moden, cekap, produktif dan berorientasikan pasaran bagi meningkatkan pendapatan pengusaha.
“Sabah perlu terus memperkukuh keupayaan pengeluaran makanan tempatan supaya kita tidak terlalu terdedah kepada perubahan bekalan dan harga dari luar.
“Kita mesti berani melakukan perubahan melalui penggunaan teknologi, pengukuhan infrastruktur, pembangunan modal insan, peluasan akses pasaran dan peningkatan nilai tambah hasil pertanian,” tegasnya.
Dalam pada itu, Hajiji menegaskan bahawa hasil pertanian Sabah perlu bukan sahaja memenuhi keperluan pasaran tempatan, malah berupaya menembusi pasaran antara negeri dan antarabangsa dengan mematuhi piawaian kualiti serta keselamatan makanan yang ditetapkan.
“Keutamaan perlu diberikan kepada pembiakan berkualiti, kemudahan pendaratan ikan serta pengembangan industri pemprosesan dan pemasaran hasil laut.
“Penglibatan lebih ramai golongan belia dalam industri agromakanan juga perlu digalakkan kerana sektor itu berpotensi menjana kekayaan baharu, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan ekonomi luar bandar.
“Kerajaan akan terus menggalakkan penggunaan teknologi moden, inovasi dan digitalisasi bagi meningkatkan produktiviti, di samping memastikan petani kecil, penternak tradisional, nelayan pesisir pantai serta komuniti pedalaman tidak tercicir daripada arus pembangunan.
“Kejayaan sektor agromakanan mesti diukur bukan sahaja melalui jumlah pengeluaran, tetapi juga melalui peningkatan pendapatan pengusaha, kestabilan bekalan makanan dan kesejahteraan keluarga mereka,” katanya.






