
BANGI – Lebih 4,000 pengunjung memeriahkan Program MADANI Kita (PMK) dan dijangka menjelang petang, kehadiran pengunjung akan lebih ramai, kata Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali.
Beliau berkata, sambutan mengalakkan itu membuktikan program komuniti mampu menyampaikan maklumat daripada kerajaan kepada rakyat dengan lebih telus.
“Setakat ini, 4,100 orang yang sebenarnya kita sasarkan 2,000 tetapi jumlahnya lebih.
“PMK menjadi ‘benchmark’ kepada jabatan lain dengan model baru iaitu 50 peratus komuniti 50 peratus agensi kerajaan.
“Maka berbondong rakyat Bandar Baru Bangi, DUN Sg Ramal yang jelas memberi sokongan padu,” katanya ketika berucap pada Program MADANI Kita Sungai Ramal, dekat sini pada Sabtu.
Program itu dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. Turut hadir, Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan.
Sementara itu, JKOM dalam satu kenyataan menyatakan PMK kali ini menghimpunkan 34 agensi dan rakan strategik menawarkan pelbagai perkhidmatan merangkumi aspek kebajikan, kesihatan, pendidikan, ekonomi, keselamatan, pendigitalan serta kesejahteraan masyarakat.
“Antara perkhidmatan yang disediakan termasuk kaunter semakan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), penerangan berkaitan e-Kasih, pendaftaran MyDigital ID, perkhidmatan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), pemeriksaan kesihatan dan pergigian, serta perkhidmatan bergerak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Selain itu, pengunjung juga berpeluang mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan menerusi Jualan RAHMAH dan Jualan Agro MADANI, di samping menikmati pelbagai kemudahan lain termasuk agihan anak pokok percuma, kebajikan masyarakat serta pameran dan khidmat nasihat daripada agensi Kerajaan yang mengambil bahagian,” menurut kenyataan itu.

Ujar JKOM lagi, bagi memeriahkan penganjuran, pelbagai aktiviti komuniti turut diadakan antaranya Gerak Ceria Komuniti MADANI melalui senamrobik, pertandingan mewarna, pertandingan e-Sukan, acara pentas serta cabutan bertuah yang memberi peluang kepada pengunjung untuk memenangi pelbagai hadiah menarik.
“Lebih penting, PMK berperanan sebagai platform komunikasi dua hala yang masyarakat berinteraksi secara langsung dengan wakil Kerajaan dan agensi pelaksana, sekali gus menyuarakan pandangan, mendapatkan penjelasan serta mengenal pasti penyelesaian terhadap isu dan keperluan setempat.
“Pendekatan turun padang ini turut mencerminkan komitmen JKOM dalam memperkukuh kefahaman rakyat terhadap dasar dan inisiatif Kerajaan MADANI, selain memastikan maklumat yang tepat serta perkhidmatan yang bersesuaian dapat disampaikan secara lebih berkesan kepada kumpulan sasar.
“JKOM akan terus memperluas pelaksanaan Program MADANI Kita di seluruh negara sebagai platform mendekati masyarakat, memperkukuh kerjasama strategik antara agensi dan memastikan manfaat inisiatif Kerajaan dapat dirasai secara langsung oleh rakyat.
Untuk rekod, PMK dianjurkan JKOM, Kementerian Komunikasi dengan kerjasama strategik Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri.







