
KOTA KINABALU – Lebih 6,000 pengunjung memeriahkan Program MADANI Kita (PMK) yang berlangsung di Dewan Masyarakat Manggatal, di sini, pada Sabtu, dengan pelbagai aktiviti yang ditawarkan kepada pengunjung.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ir. Ts. Mustapha Sakmud berkata, program anjuran Kementerian Belia dan Sukan Malaysia itu memberi tumpuan kepada golongan belia dan penduduk sekitar.
“Daripada pandangan awal, 80 peratus yang hadir ini adalah dalam kalangan belia yang ada di sekitar Parlimen Sepanggar ini.
“Kali ini memang fokus utama kita ialah untuk meraikan belia selain menawarkan antara insentif-insentif yang telah disediakan oleh kerajaan MADANI,” katanya kepada media selepas merasmikan PMK di Dewan Masyarakat Manggatal, di sini, pada Sabtu.
Menurut Mustapha, PMK juga memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan serta inisiatif yang disediakan oleh pelbagai agensi kerajaan.
“Ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan untuk mendekati masyarakat dan rakyat yang memerlukan, melalui pelbagai aktiviti serta penyampaian bantuan di peringkat komuniti,” ujarnya.
Pada program itu, Mustapha turut menyerahkan bantuan bakul MADANI kepada 146 penerima daripada golongan yang memerlukan.
Antara pengisian lain termasuklah Kokol Run, pertandingan Citra Tari MADANI, karaoke, gubahan bunga, gunting rambut secara percuma serta agihan topi keledar percuma.







