
BANGI – Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan menekankan kepentingan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan kerajaan, khususnya dalam menangani cabaran pertambahan penduduk yang dianggarkan meningkat sebanyak 40,000 orang berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Beliau berkata, pertambahan penduduk itu menuntut perhatian berterusan terhadap keperluan asas masyarakat, termasuk kemudahan pendidikan, infrastruktur dan perkhidmatan awam di kawasan Bangi.
Menurutnya, prinsip Waad Nasional perlu diterjemahkan melalui pelaksanaan janji dan amanah kepada rakyat, tanpa mengira siapa yang menerajui kerajaan.
“Apabila kita diberi amanah untuk menyandang sesuatu jawatan, persoalannya ialah apa yang kita lakukan dengan ruang dan peluang yang diberikan untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada Program MADANI Kita Sungai Ramal, dekat sini pada Sabtu.

Beliau turut menyentuh pendekatan kerajaan MADANI yang memberi penekanan kepada pendidikan, termasuk usaha meningkatkan peruntukan bagi penambahbaikan sekolah daripada RM1 bilion kepada RM2 bilion dalam perancangan Belanjawan 2027.
Mengulas isu kepadatan sekolah di Bangi yang mempunyai jumlah penduduk yang tinggi, beliau berkata penyelesaian praktikal sedang dilaksanakan bagi memastikan keperluan pendidikan dapat dipenuhi.
“Sekolah padat, Bangi padat penduduk, kita tahu dan sudah tentu penyelesaiannya ialah bina kelas tambahan menggunakan sistem binaan industri (IBS), yang boleh disiapkan dalam tempoh kira-kira dua bulan.
“SK Jalan 3 ada blok IBS, semuanya dalam pentadbiran Kerajaan MADANI, kita fikir solusi, mengakar di bumi.
“Waad saya sebagai MP Bangi adalah rakyat, saya pergi sendiri ke KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) untuk naik taraf Taman Tasik Cempaka dan sekarang, dah cantik jalan dia,” katanya.
Program MADANI Kita dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali.








