Kredibiliti diplomatik Prabowo dipersoal, biarkan Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia ‘tergantung sepi’

PUTRAJAYA – Kegagalan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengesahkan kehadiran Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia pada 31 Oktober depan membuktikan pemimpin itu lebih cenderung mengutamakan kepentingan politik domestik berbanding tanggungjawab diplomatik serantau.

Penganalisis sosiopolitik, hubungan antarabangsa dan keselamatan Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, Indonesia tidak boleh hanya menonjolkan kedudukannya sebagai kuasa utama Asia Tenggara, namun pada masa sama membiarkan komitmen diplomatik bersama negara jiran diselubungi dengan ketidakpastian.

Menurut beliau, kelewatan memberikan maklum balas terhadap platform diplomatik berprofil tinggi boleh ditafsirkan sebagai kelemahan dalam pengurusan hubungan luar, khususnya apabila rundingan tersebut melibatkan kepentingan strategik kedua-dua negara.

“Indonesia tidak boleh mengharapkan pengiktirafan sebagai pemimpin serantau sekiranya komitmennya terhadap mekanisme diplomatik dua hala sendiri menimbulkan ketidakpastian.

“Kredibiliti kepimpinan serantau perlu dinilai berdasarkan tindakan diplomatik konkrit, bukannya semata-mata kedudukan geopolitik atau saiz negara,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press (TMP), pada Sabtu.

Menurut Nur Ashikin, lebih kritikal, Indonesia sebagai antara kuasa utama Asia Tenggara wajar memperlihatkan kepimpinan serantau yang konsisten dengan kedudukannya.

“Konsep regional leadership menuntut sesebuah negara bukan sahaja memiliki pengaruh geopolitik dan ekonomi, tetapi turut menunjukkan keupayaan mengurus hubungan dengan negara jiran secara bertanggungjawab.

“Justeru, sebarang ketidaktentuan mengenai penyertaan kepimpinan tertinggi Indonesia berpotensi melemahkan keberkesanan institusi diplomatik yang dibangunkan. Jika tekanan politik domestik mempengaruhi pertimbangan Prabowo, keadaan itu tidak seharusnya menyebabkan Malaysia diletakkan dalam keadaan menunggu tanpa kepastian,,” katanya.

Mengulas lanjut, Nur Ashikin berkata, Probowo harus mampu membezakan kepentingan politik domestik dengan tanggungjawab antarabangsa, lebih-lebih lagi apabila hubungan dengan negara jiran membabitkan kepentingan strategik dan keselamatan serantau.

Persoalan lebih besar, katanya, sejauh mana Indonesia bersedia memikul tanggungjawab terhadap masalah rentas sempadan yang kesannya turut ditanggung rakyat Malaysia, khususnya jerebu yang berulang saban tahun akibat kebakaran hutan dan tanah.

“Indonesia perlu memahami bahawa kedudukannya sebagai negara besar di Asia Tenggara tidak memberikan keistimewaan mengetepikan sensitiviti diplomatik negara jiran. Prinsip kedaulatan dan kesaksamaan negara dalam hubungan antarabangsa menuntut Jakarta menghormati kepentingan Malaysia sebagai rakan strategik yang setara.

“Bukannya sekadar menganggap hubungan dua hala boleh diurus berdasarkan keselesaan politik kepimpinannya. Indonesia juga adalah pihak kepada ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution (AATHP) yang menyediakan kerangka kerjasama bagi mencegah, memantau dan menangani pencemaran jerebu rentas sempadan.

“Jika jerebu terus berulang itu keberkesanan tadbir urus alam sekitar Indonesia. Indonesia tidak boleh terus menikmati manfaat hubungan ekonomi, perdagangan dan diplomatik dengan negara jiran, tetapi pada masa yang sama gagal menangani risiko pencemaran rentas sempadan yang berpunca daripada wilayahnya,” katanya.

Nur Ashikin menegaskan, kedaulatan negara bukanlah lesen untuk mengabaikan kesan aktiviti domestik terhadap keselamatan dan kesejahteraan masyarakat negara lain sehingga sanggup menolak pentas penting dalam mengekalkan kesinambungan komunikasi, mengurus pertikaian dan membina keyakinan strategik antara negara.

Tegasnya, sekiranya Prabowo benar-benar mengelak menghadiri rundingan hanya kerana tidak bersedia menjawab persoalan Malaysia mengenai jerebu, tindakan tersebut boleh dianggap sebagai bentuk diplomatic avoidance yang menjejaskan kredibiliti kepimpinannya.

“Dari perspektif Securitization Theory yang dikembangkan oleh Barry Buzan, Ole Wæver dan Jaap de Wilde, isu jerebu boleh dibingkaikan sebagai ancaman keselamatan apabila kesannya terhadap masyarakat dan kepentingan nasional mencapai tahap yang memerlukan tindakan dasar luar serta kerjasama keselamatan yang lebih tegas.

“Malaysia mempunyai asas yang munasabah untuk mengangkat isu tersebut daripada agenda alam sekitar biasa kepada agenda keselamatan bukan tradisional, khususnya apabila episod pencemaran berulang dan mekanisme pencegahan sedia ada didapati tidak mencukupi,” katanya.

Sehubungan itu, Nur Ashikin menjelaskan, Probowo perlu membuktikan kepimpinan melalui akauntabiliti, bukannya retorik serantau sehingga menimbulkan persoalan dari sudut
kredibiliti diplomatik serta keselamatan bukan tradisional.

Tambah beliau, Indonesia perlu menyedari bahawa status sebagai negara berpengaruh dalam ASEAN tidak boleh dijadikan pengganti kepada komitmen diplomatik dan tadbir urus yang berkesan.

“Persoalan paling kritikal bukanlah sama ada Prabowo akan hadir ke Pulau Pinang, tetapi sama ada kepimpinan Indonesia benar-benar bersedia memikul tanggungjawab sebagai kuasa serantau yang berwibawa.

“Indonesia tidak boleh menuntut penghormatan atas dasar kedudukannya sebagai negara besar, tetapi mengharapkan negara jiran terus bertoleransi terhadap kelemahan tadbir urus yang memberikan kesan kepada keselamatan mereka.

“Dalam hubungan antarabangsa, pengaruh tanpa akauntabiliti bukanlah kepimpinan, sebaliknya mencerminkan jurang antara aspirasi geopolitik dengan keupayaan memenuhi tanggungjawab serantau,” katanya.

Related Posts

Prabowo jangan jadikan tekanan politik alasan ‘sidai’ Rundingan Tahunan Malaysia, Indonesia

PUTRAJAYA – Tekanan politik domestik yang dihadapi Presiden Indonesia, Prabowo Subianto tidak seharusnya dijadikan alasan untuk membiarkan Malaysia ‘tergantung sepi’ menanti maklum balas negara itu dalam menghadiri Rundingan Tahunan Malaysia…

Lebih lanjut

teruskan membaca
20 daripada 26 subsidiari BBN rugi, kerajaan Terengganu perlu jelaskan pelan pemulihan

PRESTASI kewangan 26 syarikat subsidiari milik Badan Berkanun Negeri (BBN) Terengganu bagi 2024 menimbulkan persoalan serius tentang keberkesanan pemantauan dan hala tuju entiti berkaitan kerajaan negeri, selepas 20 daripadanya atau…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kredibiliti diplomatik Prabowo dipersoal, biarkan Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia ‘tergantung sepi’

Kredibiliti diplomatik Prabowo dipersoal, biarkan Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia ‘tergantung sepi’

Sindiket scam warga China guna homestay tumpas

Sindiket scam warga China guna homestay tumpas

Prabowo jangan jadikan tekanan politik alasan ‘sidai’ Rundingan Tahunan Malaysia, Indonesia

Prabowo jangan jadikan tekanan politik alasan ‘sidai’ Rundingan Tahunan Malaysia, Indonesia

20 daripada 26 subsidiari BBN rugi, kerajaan Terengganu perlu jelaskan pelan pemulihan

20 daripada 26 subsidiari BBN rugi, kerajaan Terengganu perlu jelaskan pelan pemulihan

Anwar tegur perbahasan Parlimen masih berkisar siapa Islam, siapa munafik

Anwar tegur perbahasan Parlimen masih berkisar siapa Islam, siapa munafik

TuJu mohon maaf, gangguan aplikasi dijangka pulih 6 November

TuJu mohon maaf, gangguan aplikasi dijangka pulih 6 November