PUTRAJAYA – Tekanan politik domestik yang dihadapi Presiden Indonesia, Prabowo Subianto tidak seharusnya dijadikan alasan untuk membiarkan Malaysia ‘tergantung sepi’ menanti maklum balas negara itu dalam menghadiri Rundingan Tahunan Malaysia Indonesia pada 31 Oktober depan.
Penganalisis politik, Nurul Raihan Abidin berkata, isu yang dihadapi Probowo tidak seharusnya dijadikan alasan untuk membiarkan hubungan dengan Malaysia terumbang-ambing, apatah lagi apabila kedua-dua negara perlu bekerjasama menangani isu jerebu rentas sempadan.
Menurut beliau, Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia merupakan platform penting untuk kedua-dua negara membincangkan pelbagai isu strategik, termasuk perdagangan, pelaburan, keselamatan serantau dan alam sekitar.
“Prabowo tidak boleh selama-lamanya menjadikan tekanan domestik sebagai alasan untuk mengabaikan tanggungjawab diplomatik. Beliau ialah Presiden Indonesia, bukannya sekadar pemimpin yang perlu menyelamatkan kedudukan politik sendiri.
“Sebarang ketidakpastian mengenai pelaksanaannya perlu diperjelaskan segera supaya saluran diplomatik itu dapat dimanfaatkan untuk menyelesaikan isu berbangkit, bukannya menambah keraguan terhadap komitmen kedua-dua kerajaan,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Sabtu
Menurut Nurul Raihan, jika Prabowo terus berdiam diri tanpa penjelasan munasabah, persepsi kepemimpinannya tidak cukup tegas dalam menghadapi tekanan akan semakin sukar ditepis.
“Inilah ujian sebenar Prabowo. Beliau bukan sahaja perlu pamer ketegasan dalam politik domestik, namun dibuktikan ketika berhadapan tuntutan dan kepentingan negara jiran,” katanya.
Mengulas lanjut, Nurul Raihan berkata, jika Prabowo benar-benar Indonesia dihormati sebagai kuasa utama ASEAN, beliau perlu membuktikannya melalui tindakan, bukannya membiarkan Malaysia tertunggu-tunggu menati jawapan.
Beliau berpandangan, Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia tidak sepatutnya menjadi mangsa ketegangan berikutan pentas itu adalah saluran penting bagi kedua-dua negara membincangkan kepentingan bersama daripada pelbagai sudut.
“Prabowo perlu membuktikan bahawa kepentingan domestik Indonesia dapat diuruskan seiring dengan tanggungjawabnya sebagai pemimpin sebuah negara utama ASEAN.
“Hubungan serantau yang kukuh bukan sekadar bergantung pada kenyataan persahabatan, tetapi turut diukur melalui tindakan konkrit ketika negara jiran berdepan masalah bersama,” katanya.
Tambahnya, Prabowo tidak boleh selama-lamanya menjadikan tekanan domestik sebagai alasan untuk mengabaikan tanggungjawab diplomatik.
‘Beliau ialah Presiden Indonesia, bukannya sekadar pemimpin yang perlu menyelamatkan kedudukan politik sendiri.
“Jawatan itu menuntut beliau berani membuat keputusan, memberikan penjelasan dan berhadapan dengan isu sukar, bukannya membiarkan negara jiran tertunggu-tunggu tanpa kepastian,” katanya.



