PUTRAJAYA – Taktik sindiket penipuan warga China menyewa inap desa sebagai pusat panggilan dan sarang operasi haram terbongkar selepas diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan dilakukan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan JIM Melaka di sebuah premis kediaman di Klebang Kechil, Melaka, jam 10.35 pagi kelmarin.
“Hasil risikan selama sebulan dan maklumat awam, pasukan operasi menahan 29 lelaki dan dua wanita warga China serta seorang lelaki Taiwan berusia 20 hingga 51 tahun,” katanya, seperti dilapor Berita Harian.
Dua lelaki tempatan berusia 22 dan 32 tahun yang dipercayai penjaga premis turut ditahan.
Menurut Zakaria, sindiket itu menjadikan homestay sebagai pusat operasi penipuan pelaburan bagi mengaburi pihak berkuasa dan menyasarkan warga Korea di negara asal mereka menerusi media sosial dengan janji pulangan tinggi dalam tempoh singkat.
“Siasatan mendapati warga tempatan menerima upah RM3,000 sebulan untuk mengawasi pekerja dan membeli bekalan makanan, manakala operator warga asing tidak dibenarkan keluar dari rumah sepanjang tempoh bekerja,” katanya.
Sindiket yang beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam sejak tiga bulan lalu itu membahagikan tugas kepada tiga skop iaitu khidmat pelanggan, pengurusan maklumat pelaburan dan penyimpanan data pelanggan.
Dalam operasi itu, pelbagai peralatan dirampas termasuk 309 telefon bimbit, 45 set komputer, 5 penghala internet, suis rangkaian gigabit, Wi-Fi mudah alih, alat kawalan jauh pintu pagar dan 21 buku nota arahan penipuan bernilai keseluruhan RM318,600.
Semakan awal mendapati tiga warga China tinggal lebih masa, manakala selebihnya tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas sah.
Dua lelaki tempatan ditahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 manakala warga asing ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) akta sama untuk siasatan lanjut di Pejabat Imigresen Putrajaya.



