SHAH ALAM – Aplikasi navigasi tempatan, TuJu memohon maaf kepada pengguna yang mengalami gangguan fungsi platform itu sejak beberapa hari lalu, dengan kerja-kerja pemulihan disasarkan selesai selewat-lewatnya pada 6 November ini.
Phak pengurusan TuJu memaklumkan pasukan teknikal sedang melaksanakan kerja pemulihan dan penambahbaikan bagi memastikan aplikasi berkenaan dapat berfungsi dengan baik.
“Ketika ini, fungsi lain dalam aplikasi kekal boleh digunakan seperti biasa.
“TuJu berterima kasih atas kesabaran serta sokongan pengguna. Setiap laporan dan maklum balas membantu kami mengenal pasti masalah serta melaksanakan penambahbaikan yang diperlukan.
“Kami akan terus berusaha memenuhi harapan pengguna agar TuJu menjadi antara aplikasi navigasi terbaik yang mengutamakan keselamatan data rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu pada Jumaar.
Setakat Khamis, TuJu mencatatkan lebih 700,000 muat turun sejak diperkenalkan kepada pengguna.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Dr Mohammed Ridzuan Jahidin sebelum ini berkata aplikasi yang dibangunkan bersama Prosignal Consortium Sdn Bhd itu menawarkan pelbagai fungsi unik dan praktikal khusus untuk pengguna jalan raya di Malaysia.
Beliau berkata, antara keistimewaan TuJu ialah integrasi sistem kamera litar tertutup (CCTV) secara penstriman langsung yang membolehkan pengguna memantau keadaan aliran trafik di lebuh raya secara masa nyata.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan mengarahkan semua anggota perkhidmatan awam menghentikan penggunaan aplikasi navigasi Waze serta-merta.
Arahan itu dimaklumkan menerusi kenyataan rasmi Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, susulan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 3 Tahun 2026 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Waze sebelum ini dilaporkan sebagai aplikasi navigasi berpangkalan di Israel, manakala TuJu diketengahkan sebagai alternatif tempatan yang menawarkan kemudahan navigasi serta ciri pemantauan trafik untuk pengguna jalan raya di negara ini.


