
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan perbahasan di Parlimen yang masih berkisar mengenai persoalan siapa Islam, siapa bukan Islam dan siapa munafik sebagai terikat dengan kerangka pemikiran jumud, lapuk serta kolot.
Perdana Menteri berkata, ketika Malaysia perlu memberi tumpuan kepada penguasaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan superkomputer, perbahasan di Parlimen sepatutnya menjurus kepada pemikiran yang lebih maju dan berorientasikan masa depan.
“Kalau lihat umpamanya perdebatan di Parlimen sekarang, dia bukan ‘menggapai di langit’, tak ada langsung.
“Perbincangan itu siapa Islam, siapa tak Islam, siapa munafik, siapa tidak. Masih lagi terikat dengan kerangka pemikiran jumud, lapuk dan kolot,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2026 di ibu negara, malam tadi.

Menurutnya, pendekatan lama tidak lagi memadai untuk mengangkat martabat ekonomi negara, sebaliknya Malaysia perlu bersedia menguasai teknologi baharu bagi memastikan daya saing industri terus dipertingkatkan.
“Kalau negara ini mahu dibangunkan, mesti ada kesediaan generasi baharu dan pihak industri untuk memikir ke depan.
“Industri mesti ditingkatkan keupayaan dan dimodenkan. Tidak boleh umpamanya nak angkat martabat ekonomi dengan pendekatan lama yang lapuk, sebab itu kita sebut ‘menggapai di langit’,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan usaha menjadikan Malaysia sebuah negara perindustrian maju perlu diseimbangkan dengan pemeliharaan identiti nasional, termasuk bahasa, budaya, adab dan nilai kemanusiaan.
“Kita mahu jadi negara maju dan industri, bukan semestinya kita jadi sepertimana budaya Amerika ke Rusia ke China, tidak. Kita nak pastikan akar kita itu di sini.
“Maka bahasa kita, budaya kita, adab kita, kemanusiaan kita, menghormati sentimen pelbagai kaum, pelbagai agama, kerana ini suatu keperluan. Satu imperatif yang tak boleh kita pertikai.
“Sebab itu kita kata, ‘menggapai di langit tetapi juga mengakar ke bumi’,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar mengingatkan bahawa pertumbuhan ekonomi dan pencapaian eksport yang memberangsangkan tidak seharusnya mengakibatkan jurang ketidaksamaan semakin melebar sehingga golongan miskin terpinggir daripada arus pembangunan.
“Kita boleh bincang dan bicara soal memacu pertumbuhan, eksport yang tinggi, angka yang menakjubkan, tetapi kesenjangan dan inequality melebar.
“Kelompok miskin terpinggir sama ada di ulu Kelantan atau di Kapit, Sarawak terbiar, tidak boleh,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan pembangunan negara perlu dilaksanakan secara seimbang dengan memastikan kemajuan teknologi dan ekonomi turut membawa manfaat kepada seluruh rakyat, tanpa mengira latar belakang atau lokasi tempat tinggal.



