
BOURNEMOUTH terus mencetus sensasi dalam kempen sulung Liga Europa apabila membelasah AC Milan 3-0 di laman sendiri awal pagi tadi.
Kemenangan itu menyaksikan kelab Liga Perdana Inggeris berkenaan merekodkan tiga kemenangan sempurna daripada tiga perlawanan pembukaan.
Justin Kluivert dan Marcus Tavernier masing-masing menyempurnakan sepakan penalti pada separuh masa pertama selepas penjaga gol merangkap kapten Milan, Mike Maignan, dilayangkan kad merah akibat kekasaran terhadap Tyler Adams seawal permainan.
Amine Adli melengkapkan kemenangan bergaya Bournemouth menerusi sepakan percuma pada minit ke-84.
Skuad kendalian Andoni Iraola sebelum ini menewaskan Real Sociedad di tempat lawan dan membelasah Sturm Graz 3-0 di laman sendiri.
Kejayaan itu menyaksikan Bournemouth menjadi kelab England pertama sejak Sunderland pada musim 1973/74 yang memenangi tiga perlawanan Eropah pertama dalam sejarah mereka.
Sementara itu, Crystal Palace bangkit daripada kekalahan 5-0 kepada Brighton hujung minggu lalu apabila mengikat Besiktas 2-2 di Istanbul, manakala Celtic tunduk 1-2 kepada Celta Vigo.
Dalam saingan Liga Konferens, Trabzonspor menewaskan Hearts 2-0, Brighton seri tanpa jaringan dengan Jablonec, Monaco membelasah Freiburg 3-0 dan Ajax menewaskan Atalanta 2-0.





