
KUCHING – Sarawak kini bersedia untuk mengambil alih fungsi pengurusan buangan terjadual menerusi fasa pertama pemindahan autonomi alam sekitar di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, persediaan berkenaan dilaksanakan melalui Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) bagi memastikan proses pengambilalihan dapat dilaksanakan dengan teratur.
Menurutnya, usaha itu melibatkan pengukuhan perundangan, peningkatan keupayaan pegawai, pelaksanaan pemeriksaan bersama serta penambahan tenaga kerja bagi menyokong tanggungjawab baharu tersebut.
“Kerajaan Sarawak melalui NREB telah bersedia sepenuhnya untuk mengambil alih fungsi pengurusan buangan terjadual dalam fasa pertama pemindahan autonomi alam sekitar di bawah MA63,” katanya
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan penggulungan kementeriannya bagi Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Rabu.
Awang Tengah juga merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II berkata, antara persediaan utama ialah penggubalan Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024 (NREO 2024) yang merangkumi peruntukan berkaitan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Menurutnya, ordinan berkenaan telah diluluskan DUN Sarawak pada 12 November 2024 sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kerangka perundangan pengurusan alam sekitar negeri.
“NREB turut meningkatkan keupayaan teknikal kakitangannya bagi memastikan pegawai mempunyai kemahiran dan pensijilan profesional yang diperlukan,” jelasnya.
“Sebanyak 35 pegawai telah memperoleh pensijilan Protokol Pensampelan Buangan Terjadual (CePSWaSP) dan 27 lagi dalam bidang Pengurusan Buangan Terjadual (CePSWaM).
“Seramai 25 pegawai lagi sedang mengikuti proses mendapatkan pensijilan CePSWaM,” menurut teks ucapan berkenaan.
Awang Tengah berkata, sebanyak 169 pemeriksaan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak dan 26 lawatan teknikal telah dilaksanakan bagi tempoh 2024 hingga September 2026.
Menurutnya, kerjasama berkenaan merupakan antara langkah meningkatkan keupayaan NREB dalam aspek pemeriksaan, pemantauan dan pengurusan buangan terjadual.

Selain itu, seramai 10 kakitangan baharu turut diambil bagi menyokong persediaan pelaksanaan fungsi pengurusan tersebut.
Beliau berkata, persediaan menyeluruh itu penting bagi memastikan NREB mempunyai keupayaan dari segi perundangan, kepakaran dan sumber manusia apabila tanggungjawab pengurusan buangan terjadual dipindahkan kepada kerajaan Sarawak.
Untuk rekod, proses pemindahan autonomi alam sekitar di bawah MA63 dilaksanakan secara berperingkat, dengan pengurusan buangan terjadual menjadi tumpuan fasa pertama.
Pelaksanaan pengambilalihan itu masih tertakluk kepada proses penurunan kuasa berkaitan, selaras dengan kerangka perundangan kerajaan Persekutuan dan kerajaa Sarawak.



