
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket yang menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi bagi menguruskan laman sesawang menawarkan khidmat pelacuran kepada pelanggan di Singapura menerusi Op Noda-Rentas Sempadan, pada Selasa.
Operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama Singapore Police Force (SPF) itu dilaksanakan di beberapa premis kediaman sekitar Kuala Lumpur dan Johor.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, operasi berkenaan membawa kepada penahanan sembilan individu, terdiri daripada lima lelaki dan empat wanita berusia antara 29 hingga 56 tahun.
Mereka dipercayai anggota sindiket persundalan sama serta dikehendaki SPF berhubung kesalahan di bawah Seksyen 146A(1)(b) Women’s Charter 1961 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan.
“Semakan awal dokumen pengenalan diri yang dirampas mendapati warga asing yang ditahan terdiri daripada tujuh warga China dan seorang warga Singapura.
“Seorang warga Singapura dan empat warga China didapati tinggal lebih masa di Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

M Kumar berkata, kesemua sembilan individu itu akan diserahkan kepada SPF melalui Bahagian D12 (NCB/Interpol) JSJ Bukit Aman selepas pengesahan identiti dilaksanakan di hadapan majistret mengikut Seksyen 5(3) Akta (Peruntukan-Peruntukan Khas) Saman dan Waran 1971.
Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan dipercayai mula aktif di Singapura sejak 2024 sebelum menjadikan Malaysia sebagai pangkalan untuk menguruskan laman sesawang yang menawarkan khidmat pelacuran kepada pelanggan di negara itu.
“Malaysia dijadikan sebagai hab operasi bagi mengelakkan serta menyukarkan pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan pencegahan ke atas kumpulan sindiket,” katanya.
Dalam operasi sama, polis turut menahan 21 lagi warga asing, terdiri daripada lima lelaki dan 16 wanita berusia antara 19 hingga 41 tahun, yang dipercayai terbabit dalam kegiatan mempromosikan dan menguruskan khidmat persundalan secara dalam talian.
Kumpulan itu terdiri daripada 17 warga China, tiga warga Vietnam dan seorang warga Laos.
Menurut M Kumar, mereka disiasat mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 15(1)(c) akta sama.
Beliau berkata, kejayaan operasi itu mencerminkan keberkesanan kerjasama strategik antara Polis Diraja Malaysia dan SPF menerusi perkongsian maklumat risikan dalam membanteras jenayah rentas sempadan.





