
KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah memperkenalkan sistem bon ternakan bernilai 10 peratus daripada harga ternakan bagi memastikan penternak tidak menjual induk lembu dan kambing terlalu awal, sekali gus meningkatkan populasi ruminan di negeri ini.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, menerusi sistem baharu itu, bon akan dikembalikan selepas tempoh tiga tahun sekiranya penternak memenuhi syarat ditetapkan.
“Nilai seekor lembu dianggarkan RM16,000, manakala kambing RM1,600, dengan bon masing-masing ditetapkan sebanyak 10 peratus daripada harga ternakan.
“Sekiranya lembu-lembu ini produktif dan menghasilkan dua hingga tiga ekor anak dalam tempoh itu, bon akan dikembalikan kepada penternak untuk mereka mengembangkan lagi perusahaan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Selasa.
Menurutnya, langkah itu merupakan penambahbaikan Program Transformasi Ruminan Negeri yang dilaksanakan sejak kira-kira 10 tahun lalu, namun belum menunjukkan pertambahan ketara dalam populasi lembu dan kambing.
“Sebanyak 395 ekor lembu tenusu diperuntukkan di bawah program berkenaan dengan baki 255 ekor dijadual tiba pada 27 Oktober ini.
“Semua ternakan yang tiba akan menjalani kuarantin selama kira-kira seminggu di Jabatan Perkhidmatan Veterinar di Penampang sebelum diagihkan kepada penerima yang layak mulai 28 Oktober ini, tertakluk kepada pematuhan piawaian kuarantin.
“Seramai 19 penternak akan menerima kambing, manakala lembu tenusu akan diserahkan kepada dua entiti, iaitu SLDB dan Desa Keningau untuk diuruskan dan diternak,” ujarnya.
Tambah Jamawi, baka lembu tenusu itu dipilih kerana lebih sesuai dengan cuaca panas di Keningau serta berpotensi menghasilkan sehingga 30 liter susu sehari, berbanding purata semasa 14 hingga 15 liter sehari bagi kedua-dua penerima.
“Kerajaan turut menerima 850 ekor lembu pedaging bernilai kira-kira RM10 juta pada minggu lalu, yang mula diagihkan kepada penternak terpilih.
“Secara keseluruhan, peruntukan bagi penghantaran lembu pedaging, lembu tenusu dan kambing berkenaan berjumlah kira-kira RM17 juta.
“Kerajaan mahu memastikan induk ternakan terus dipelihara bagi membolehkan pembiakan berterusan, bukannya dijual selepas kelahiran pertama.
“Potensi induk ini boleh mencapai tujuh generasi. Kita mahu penternak memelihara dan mengembangkan populasi ternakan mereka, bukan menjual induk selepas kelahiran pertama,” jelasnya.
Dalam pada itu, Sabah menyasarkan tahap sara diri (SSL) daging ruminan meningkat kepada 40 peratus menjelang 2030, berbanding kira-kira 25 peratus bagi daging lembu dan 5.5 peratus bagi kambing ketika ini, manakala pengeluaran susu lembu telah mencapai hampir 100 peratus SSL.
“Penternak yang berminat boleh menghubungi pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar berhampiran untuk mendaftar dan mengikuti kursus ditetapkan.
“Bagaimanapun, kelulusan bantuan bergantung pada kesediaan kandang, keluasan kawasan, bekalan makanan serta kemampuan penternak mengurus ternakan dengan baik,” katanya lagi.
Tambahnya, kementeriannya menerima ketibaan 950 ekor kambing dari Sydney, Australia, bernilai kira-kira RM1.6 juta serta 140 ekor lembu tenusu baka Jersey Friesien.


