
KOTA KINABALU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sabah terus meneliti isu keselamatan serta langkah penambahbaikan dan tindakan susulan bagi mengurangkan risiko kemalangan di kawasan Sepanggar.
Pengarahnya, Datuk Mohd Harris Ali berkata, ia susulan kemalangan melibatkan muatan lori treler yang terbalik ketika proses pemuatan kontena ke atas sebuah semi-treler sebelum menghempap sebuah Toyota Avanza yang dinaiki dua beranak di kawasan Pelabuhan Sepanggar, baru-baru ini.
“JPJ mendapati kawasan jalan raya di mana kejadian berlaku tidak sesuai dijadikan kawasan pemunggahan atau pindahan kontena atas faktor jalan sempit dan sepatutnya dilakukan di dalam kawasan Pelabuhan atau depot kontena yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Didapati sebilangan pengusaha meletakkan kontena di atas bahu jalan termasuk di atas longkang menyebabkan ancaman keselamatan kepada pengguna jalan raya dan kerosakan kepada infratruktur jalan raya,” katanya dalam kenyataan media, pada Isnin.
Beliau berkata, keperluan menyediakan kawasan bersesuaian sebagai depot simpanan dan ruang menunggu kenderaan perdagangan serta lokasi khas untuk aktiviti pemunggahan muatan juga perlu diwujudkan.
Katanya, pemasangan speed breaker, pembaikan jalan raya, naik taraf pencahayaan dan pembesaran bahu jalan sepanjang laluan ke Pelabuhan Sepanggar turut perlu dipertimbangkan bagi meningkatkan keselamatan pengguna terutama pada waktu malam.
Menurutnya, menerusi operasi khas pada Isnin, sebanyak 65 kenderaan telah diambil tindakan dan 109 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
“Kesalahan tertinggi melibatkan Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 berkaitan perbuatan memberhentikan atau membenarkan kenderaan berhenti di jalan dalam keadaan yang boleh membahayakan, menghalang atau menyusahkan pengguna jalan raya lain,” ujarnya.
JPJ Sabah turut menzahirkan dukacita atas insiden dua beranak terbabit dan berharap agar tragedi itu menjadi peringatan kepada semua tentang kepentingan mengutamakan keselamatan dan mematuhi peraturan jalan raya.


