Gangguan mergastua: Derita pekebun tak berpenghujung!

DI SEBALIK kematian Musa Ahmad, 65, pada 4 Oktober 2024 lalu tersingkap segumpal derita ribuan penduduk tiga kampung dekat Tasik Kenyir, Hulu Terengganu berhadapan ancaman nyawa dan kerugian serangan mergastua.

Penduduk Kampung Pasir Dula, Basong, dan Padang Setebu yang majoritinya pekebun didapati kerugian besar beberapa tahun mutakhir ini kerana kebun mereka diceroboh secara ekstrem oleh kera (dan haiwan serta sejenisnya).

Kawasan yang teruk terjejas melibatkan kawasan pertanian Kecur Kanan, Tok Baram, Kecur Kiri, Beru, Tok Kidal, Sungai Nering, Buluh Nipis, Bukit Kempas, Kuala Ayur, dan Sungai Ayur.

Setiap kali tiba musim buah-buahan mergastua itu berkumpul di tepi hutan; menunggu peluang menceroboh kebun sama ada pagi ketika pekebun belum tiba dan tengah hari atau petang setelah pekebun pulang.

Gangguan itu lebih parah apabila membabitkan spesies beruk kerana dengan tubuhnya yang besar, gayutan dan lompatan mergastua itu mematahkan batang pokok yang masih muda dan dahan pokok terutama jenis yang rapuh seperti petai dan durian.

Kisah pekebun menangis melihat buah durian yang masih muda bersepah-sepah dengan kesan kekahan (gigitan) mergastua itu bukanlah perkara baharu tetapi siapakah yang sudi menyelami derita mereka?

Seolah-olahnya tidak ada yang mahu peduli!

Itu belum lagi dimasukkan kisah gangguan babi hutan yang turut memakan buah gugur dan tupai yang merosakkan buah di dahan pokok.

Pekebun menderita sendiri; kerugian sendiri; keletihan sendiri; pulang dengan langkah yang longlai dan sesekali dikunjungi putus asa.

Kerana kecewa ada sesetengahnya terfikir mahu menebang saja pokok itu biar jadi padang jarak padang tekukur!

Yang terlintas di benak mereka, malang betul menjadi pekebun tetapi bukan semua orang layak menjadi pegawai tinggi dengan gaji ribuan ringgit!

Ada juga pekebun yang keras hati – datang awal pagi, pulang matahari tenggelam bagi memastikan beruk (kera, lotong, monyet, siamang, dan sebagainya) tidak menceroboh.

Pun begitu, datang pula musibah lain; yang jauh lebih dahsyat!

Kalau beruk tidak menceroboh waktu malam dan awal pagi, yang datang berkunjung mergastua yang lebih besar – kumpulan gajah!

Nasib itu dialami Musa Ahmad – mati dipijak gajah ketika berjalan kaki berseorangan ke kebunnya seawal 7:30 pagi sebagaimana laporan pelbagai media baru-baru ini.

Kisah Allahyarham sesungguhnya mewakili derita pekebun di pinggir Tasik Kenyir.

Dapat disimpulkan bahawa ini kisah malang yang hanya terkepung dalam lingkungan kehidupan mereka – pekebun yang terabai.

Dalam kedaifan, kini mereka kembali mewujudkan tabung khas untuk berjaga dan meronda setakat yang termampu.

Apakah kesudahan episod ini?

Akan adakah usaha mana-mana pihak membantu pekebun atau mereka hanya perlu meraung sesama mereka?

Tidak adakah pihak yang mahu bersimpati?

Related Posts

Jika bukan Anwar, maka siapa?

DALAM politik, mengkritik sentiasa mudah. Terlalu mudah. Setiap hari kita melihat suara-suara yang mempersoalkan kepimpinan, mengkritik dasar, dan mempertikaikan keputusan kerajaan. Namun di sebalik semua kritikan itu, satu soalan besar…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kg Bahagia digazet, buka laluan kepada pembangunan lebih sistematik

Kg Bahagia digazet, buka laluan kepada pembangunan lebih sistematik

3 maut ditembak dalam restoran

3 maut ditembak dalam restoran

PRU16: Harapan Rakyat kerjasama, pastikan kemenangan GRS

PRU16: Harapan Rakyat kerjasama, pastikan kemenangan GRS

Kebakaran Sandakan: 1,000 rumah terjejas, lebih 9,000 penduduk terlibat

Kebakaran Sandakan: 1,000 rumah terjejas, lebih 9,000 penduduk terlibat

Lelaki tempatan ditahan positif dadah dalam Operasi Khas di Roban

Lelaki tempatan ditahan positif dadah dalam Operasi Khas di Roban

UMNO Jerantut yakin mampu cabar pembangkang dalam PRU16

UMNO Jerantut yakin mampu cabar pembangkang dalam PRU16