
FITNAH demi fitnah, provokasi demi provokasi, pembodohan demi pembodohan kini memenuhi atmosfera gerak kerja politik pembangkang.
Bermula dengan barisan pemimpin hinggalah kepada aktivis gerak saraf, kemudiannya penyokong, nampak benar pembangkang melanggar ajaran Islam yang amat mengutamakan keharmonian.
Mungkin kerana gerun oleh kemerosotan sokongan rakyat – kalah teruk dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Nenggiri dan di Mahkota – pembangkang meroyan mencari isu.
Ketika Rabiul Awal baru berlalu yang tidak seharusnya membawa umat Islam kembali kepada amalan jahiliah, seorang aktivis media sosialnya cuba menimbulkan keresahan awam dengan isu kapal perang China berlabuh di negara ini.
Dia cuba mengocakkan keharmonian rakyat negara ini agar saling membenci dengan menaikkan isu ‘China’ dan ‘Cina’ yang kita tahu sasarannya tidak lain daripada mencari keuntungan politik kepada pembangkang.
Tidak perlu saya lanjutkan bukti bahawa kedatangan kapal perang negara asing ke sini bukan hanya berlaku pada zaman Kerajaan Perpaduan dan itu bukan hanya berlaku di negara ini.
Ulasan mengenai perkara itu sudah dijawab oleh beberapa pihak, antaranya komentar Datuk Lokman Noor Adam dan pencerahan Ahmad Mursi yang kesemuanya berfakta dan bertanggungjawab.
Cuma yang menjadi tanda tanya banyak pihak, kenapa pemfitnah itu seolah-olah diberi ‘keizinan’ berbuat jahat?
Apakah itu mahu dibiarkan sehingga marak api permusuhan – rakyat saling memaki, mencarut, memfitnah hingga akhirnya berlakunya tragedi yang tak terjangkakan?
Sebelum itu, ada pihak cuba memainkan isu penukaran hari cuti umum di Johor iaitu daripada Jumaat dan Sabtu kepada Sabtu dan Ahad.
Dikatakan itu tidak Islamik kerana kononnya tidak menghormati kesucian Islam. Lebih malang, ada seseorang daripada Kerajaan Perpaduan ‘menyertai’ pembodohan itu.
Daripada mana mereka dapat fatwa bahawa Islam mewajibkan cuti pada hari Jumaat?
Perihal ketidakwajiban bercuti pada hari Jumaat itu telahpun dijelaskan oleh Mufti Perlis dengan hujah dan dalil yang cukup meyakinkan namun pemfitnahan dan pembodohan terus digelumangkan.
Kita sedar bahawa pembangkang kerjanya menjadi pihak yang melakukan semak dan imbang atas tindak-tanduk kerajaan.
Keputusan kerajaan disemak dan diseimbangkan agar natijahnya nanti akan memberi kebaikan kepada rakyat tanpa mengira parti, bangsa, dan agama.
Maksudnya, perlu ada kejujuran, tanggungjawab, dan keikhlasan di situ.
Soalannya sekarang, adakah pembangkang jujur, bertanggungjawab, dan ikhlas dalam tindak-tanduknya sekarang?
Jawapannya tidak!
Yang pembangkang sekarang lakukan hanya membedil secara rambang asalkan itu ada keuntungan politik untuk parti mereka.
Betul atau tidak, logik atau tidak, bagus atau tidak kepada peradaban dan maruah Islam, itu bukan keutamaan mereka.
Yang mereka pentingkan pengaruh dan kuasa!
Apabila diajak berdebat secara sihat mereka menjadi bacul, contohnya pempengaruh PN itulah – menolak undangan Iswardy Morni dengan pelbagai alasan bertaraf sampah!
Mereka bercakap pasal Islam tetapi wajah mereka bertopeng!
Mereka bercakap pasal wangi tetapi mereka melumur ‘taik’ merata-rata!
Kadangkala, kita bertanya-tanya; Islam apa begitu kalau setiap hari mereka memfitnah dan mencipta kebencian?
Itu berbeza dengan Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi pembangkang.
Dahulu PH benar-benar berfungsi sebagai pihak yang melakukan semak dan imbang. Hal itu pernah diakui Allahyarham Raja Petra Kamaruddin menjelang akhir hayatnya.
Sekarang jelas bahawa pembangkang sudah benar-benar kehilangan modal, bankrap idea, menghidap ‘skizofrenia politik’ yang sangat kritikal.
Segala-gala ‘kesempatan yang haram’ dihalalkan mereka asalkan itu boleh menyambung hayat kuasa yang masih mereka pegang.
Kasihan betul mereka tapi takkan kerajaan nak biarkan mereka begitu sahaja?
Bertindaklah. Mereka sudah melampau sangat tu!







