
LIMBANG – Aktiviti sukan bukan sahaja penting untuk meningkatkan tahap kesihatan dan kecergasan fizikal, malah menjadi wadah mengeratkan silaturahim serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, pembudayaan sukan dalam kehidupan seharian perlu terus diperkasakan bagi melahirkan masyarakat yang sihat, aktif dan produktif.
Menurutnya, penganjuran Hari Sukan Negara (HSN) merupakan antara inisiatif penting kerajaan bagi menggalakkan penyertaan rakyat dalam pelbagai aktiviti sukan, kecergasan dan rekreasi tanpa mengira peringkat umur.
“Hari Sukan Negara adalah satu acara tahunan yang diadakan di Malaysia untuk menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan dan riadah.

“Ia bertujuan untuk memupuk semangat kesukanan dan meningkatkan kesedaran tentang pentingnya gaya hidup sihat dalam kehidupan seharian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan HSN 2026 Peringkat Bahagian Limbang di Dewan Suarah Limbang, pada Sabtu.
Hasbi berkata, usaha membudayakan sukan perlu dilaksanakan secara berterusan dan tidak seharusnya terhad kepada penganjuran program atau pertandingan tertentu sahaja.
Menurutnya, masyarakat digalakkan menjadikan aktiviti fizikal dan kecergasan sebagai sebahagian daripada rutin harian bagi meningkatkan kesejahteraan diri serta mengurangkan risiko penyakit.
Beliau berkata, penganjuran HSN juga selaras dengan Visi Sukan Negara 2030 yang menyasarkan Malaysia menjadi sebuah Negara Bersukan menjelang tahun berkenaan.
“Penyertaan aktiviti sukan yang lebih luas di semua peringkat diberi keutamaan bagi memupuk perpaduan dan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.
“Pada masa sama, persekitaran yang kondusif perlu diwujudkan melalui pelaksanaan pelbagai program serta penggunaan kemudahan sukan yang tersedia,” katanya.
Dalam pada itu, Hasbi berkata, sambutan HSN 2026 turut menekankan penyertaan secara inklusif melibatkan warga emas, golongan veteran, wanita, belia, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak.
Menurutnya, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan peluang menyertai aktiviti sukan dapat dinikmati semua lapisan masyarakat tanpa mengira keupayaan fizikal, umur atau latar belakang sosial.
Selain itu, pengisian program turut diselaraskan dengan elemen 10 gaya hidup Rakan Muda bagi menarik lebih ramai belia dan remaja menyertai aktiviti yang bermanfaat.
Beliau berkata, penglibatan generasi muda penting bagi memastikan amalan bersukan terus berkembang dan menjadi budaya dalam masyarakat pada masa hadapan.
Hasbi berharap sambutan HSN terus menjadi pemangkin kepada penyertaan masyarakat secara menyeluruh dalam aktiviti sukan dan rekreasi.
Katanya, kerjasama berterusan pelbagai pihak diperlukan bagi memperkukuh budaya hidup sihat, sekali gus membentuk masyarakat yang lebih cergas, harmoni dan bersatu padu.








