
LAWAS – Kerajaan terus memberi perhatian kepada pembangunan sektor pertanian di Parlimen Lawas menerusi penyaluran bantuan kepada pekebun kecil serta usaha memperluas kawasan penanaman padi bagi meningkatkan pengeluaran makanan tempatan.
Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong berkata, program Bantuan Baja untuk Pekebun Kecil Kelapa Sawit dan Lada (BBKSL) yang memasuki fasa ke-4 tahun ini diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penerima bagi meningkatkan produktiviti tanaman masing-masing.
Menurut beliau, bantuan berkenaan mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan masyarakat, khususnya penduduk luar bandar yang bergantung kepada sektor pertanian sebagai sumber pendapatan.
“Pekebun perlu menggunakan bantuan baja yang diberikan dengan sebaik mungkin supaya hasil tanaman dapat ditingkatkan,” katanya ketika ditemui pada Program Penyerahan Bantuan Baja untuk Pekebun Kecil Kelapa Sawit dan Lada (BBKSL) pada Sabtu.

Dalam perkembangan berkaitan, Henry berkata, usaha meningkatkan pengeluaran padi dan beras tempatan turut menjadi antara keutamaan bagi mengurangkan kebergantungan Sarawak terhadap bekalan import.
Beliau berkata, pengeluaran beras di Sarawak ketika ini dianggarkan hanya sekitar 18 peratus daripada keseluruhan keperluan, sekali gus menunjukkan kepentingan memperkukuh kapasiti pengeluaran makanan negeri.
Katanya, kebergantungan tinggi terhadap bekalan dari luar boleh menimbulkan risiko sekiranya berlaku gangguan bekalan antarabangsa.
Sehubungan itu, beliau berkata, peluasan kawasan penanaman padi di sekitar Lawas perlu diberi perhatian, termasuk di Ulu Merapok, Sundar dan Trusan serta kawasan lain dikenal pasti mempunyai potensi untuk dibangunkan.
“Sebahagian kawasan boleh dibangunkan sebagai sawah padi secara berskala besar, manakala kawasan lain boleh diusahakan secara kecil-kecilan mengikut kesesuaian tanah dan keadaan setempat,” ujarnya.
Beliau turut menggalakkan penduduk setempat supaya mengambil bahagian secara aktif dalam kegiatan pertanian bagi memperkukuh kerjasama dengan kerajaan bagi memastikan usaha meningkatkan pengeluaran makanan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Dalam pada itu, selain penanaman padi, pengeluaran pelbagai produk pertanian lain juga perlu dipertingkatkan bagi memperkukuh ekonomi masyarakat setempat serta menjamin keterjaminan makanan di Sarawak.



