
KUCHING – Gabungan Parti Sarawak (GPS) dijangka melakukan pembaharuan barisan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, termasuk memberi peluang kepada muka baharu, golongan muda dan wanita.
Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berpandangan sekurang-kurangnya 10 peratus calon wajar ditukar dalam setiap pilihan raya bagi memastikan kesinambungan kepimpinan parti.
“Proses pembaharuan penting bagi memberi ruang kepada generasi pelapis untuk mengetengahkan kemampuan mereka sebagai wakil rakyat.
“Keputusan mengenai calon yang akan dikekalkan atau digugurkan terletak di bawah pertimbangan kepimpinan tertinggi parti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Pertandingan Penulisan DayakDaily 2026 dan pelancaran buku Sarawak Folklore Book I di Hotel Imperial Kuching, pada Sabtu.
Abdul Karim berkata, pemilihan calon perlu mengambil kira pelbagai faktor termasuk prestasi penyandang, isu di peringkat akar umbi dan keupayaan seseorang wakil rakyat melaksanakan tanggungjawab kepada pengundi.
“Terdapat kawasan yang memerlukan perhatian lebih serius sekiranya timbul isu berkaitan prestasi wakil rakyat atau pelaksanaan tanggungjawab mereka,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa setiap kerusi perlu diberikan perhatian tanpa menganggap mana-mana kawasan sebagai kerusi selamat atau sukar dimenangi.
Dalam pada itu, Abdul Karim turut menekankan kepentingan penyertaan wanita dan golongan muda dalam barisan kepimpinan politik.
Katanya, golongan wanita mempunyai kemampuan untuk memikul tanggungjawab sebagai pemimpin dan wajar diberikan peluang yang bersesuaian.
“Kepimpinan parti juga perlu mengambil kira kesinambungan politik jangka panjang supaya proses peralihan kepada generasi baharu dapat dilaksanakan dengan teratur.
Sehubungan itu, beliau berharap penyandang yang tidak dipilih semula dapat menerima keputusan parti serta terus memberikan sokongan kepada calon yang diketengahkan.
Mengulas persediaan menghadapi PRN, Abdul Karim berkata, GPS sudah bersiap sedia dan yakin dapat mempertahankan sekurang-kurangnya dua pertiga kerusi DUN yang dipertandingkan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa setiap kerusi tetap penting dan keputusan akhirnya bergantung kepada pengundi.
“Matlamat utama GPS adalah memastikan calon yang diketengahkan mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, tanpa mengira parti komponen yang diwakili,” katanya lagi.


