KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan kerajaan Pusat melalui Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Ekonomi mempertimbangkan semula pembinaan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU).
Menerusi hantaran Facebook Kesultanan Pahang, Al-Sultan Abdullah bertitah, keputusan tidak melaksanakan satu daripada komponen penting dalam projek LTU itu dilihat akan menyukarkan usaha penyelesaian beberapa isu berkaitan antaranya keperluan asas orang ramai menggunakan laluan berkenaan.
Baginda menegaskan bahawa keperluan R&R di lebuh raya itu akan dapat memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna sekali gus mengelak masalah pembuangan sampah serta kekotoran di pinggir jalan akibat ketiadaan kemudahan tandas.
“Baginda berharap agar pihak berkaitan dapat memberi pertimbangan sewajarnya untuk meneruskan pembinaan infrastruktur tersebut bagi kepentingan orang ramai terutama ketika musim perayaan dan cuti sekolah,” menerusi hantaran itu.
Sebelum ini, kerajaan Pahang menyatakan rasa terkilan apabila satu daripada komponen penting dalam projek LTU itu tidak dilaksanakan, walaupun terdapat dalam skop projek dan hanya penyediaan platform serta infrastruktur yang dilaksanakan.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri sudah membuat permohonan supaya kemudahan itu dibina bagi memberi keselesaan dan keselamatan kepada pengguna dalam mendapatkan kemudahan rehat sepanjang pemanduan.






