
KUCHING – Usaha mengumpul dan memelihara sejarah Sarawak menerusi penubuhan arkib peringatan perlu dirangkumkan secara menyeluruh meliputi semua bahagian, daerah, bandar dan kampung supaya warisan masyarakat tempatan tidak hilang ditelan zaman.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, cadangan memberi kuasa kepada Perpustakaan Negeri Sarawak untuk menubuhkan arkib tersebut menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2026 dilihat berpotensi memperkukuh dokumentasi sejarah negeri secara lebih sistematik.
Menurut beliau, pensejarahan Sarawak tidak seharusnya hanya berkisar mengenai tokoh atau peristiwa besar, tetapi wajib meliputi dokumen lama, gambar, manuskrip, rakaman audio dan video, serta penceritaan lisan masyarakat tempatan.
“Kepelbagaian etnik, bahasa, adat resam, pakaian dan makanan turut menjadi sebahagian daripada khazanah negeri yang perlu didokumentasikan untuk rujukan generasi akan datang.
“Jika bahan-bahan ini tidak dikumpul dan dipelihara secara sistematik, kita berisiko kehilangan sebahagian daripada sejarah penting wilayah ini,” katanya ketika membahaskan RUU berkenaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, pada Selasa.
Sehubungan itu, Royston mencadangkan supaya proses dokumentasi tersebut turut menjejaki perkembangan demografi, ekonomi, pendidikan, infrastruktur, kehidupan sosial serta institusi tempatan.
Jelasnya, rekod yang lebih menyeluruh dapat membantu menggambarkan evolusi dan perubahan yang berlaku dalam sesebuah komuniti dari satu generasi ke generasi berikutnya.
Tambahnya lagi, arkib peringatan yang komprehensif juga berpotensi berfungsi sebagai pusat rujukan pendidikan dan penyelidikan utama kepada kumpulan pelajar, guru, ahli akademik serta masyarakat awam.
Sebagai rekod, cadangan penubuhan arkib berkenaan merupakan antara intipati utama dalam RUU Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2026.
Ia bertujuan memartabatkan peranan perpustakaan negeri dalam memelihara bahan berkaitan tokoh, peristiwa, warisan, budaya dan sejarah Sarawak yang tidak ternilai harganya.



