TANGGA BATU – Penangguhan pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi peminjam berpendapatan sehingga RM2,500 sebulan, selain bayaran minimum RM50 sebulan bagi mereka yang berpendapatan antara RM2,501 hingga RM3,000, memberi kelegaan kepada graduan muda yang baru memulakan kerjaya.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim berkata, pendekatan itu juga dapat membantu memastikan pembiayaan pendidikan tinggi negara kekal mampan, selain menangani isu pinjaman tertunggak dalam kalangan peminjam.
Menurut beliau, mekanisme berkenaan antara langkah yang sebelum ini cuba diperkenalkan dalam sektor pendidikan tinggi bagi memastikan pengurusan pinjaman dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.
“Ini antara agenda yang sebelum ini lagi cuba diperkenalkan di bawah sektor pendidikan tinggi, terutamanya sekali dalam kita nak mengawal di masa akan datang apa yang kita sebut sebagai non-performing loan kan, hutang-hutang tertunggak dan sebagainya.
“Ini antara mekanisma yang cuba kita perkenalkan untuk memastikan bahawa yang pertama, kita mampu untuk membiayai pendidikan tinggi secara sustainable.
“Kedua adalah untuk kita meletakkan keutamaan tu kepada kemampuan dan matlamat utama, matlamat asas kepada pendidikan tinggi iaitu untuk bagi kehidupan dan juga memastikan graduan tu boleh dapat kehidupan lebih baik,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Ahad.

Mengulas lanjut, Adam memaklumkan, skema bayaran berasaskan pendapatan itu mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kemampuan kewangan golongan muda yang baharu bekerja.
Katanya, pemberian diskaun 10 peratus bagi peminjam yang membuat pembayaran secara teratur dan berjadual adalah insentif terbaharu dan berbeza berbanding kaedah sebelum ini yang umumnya memerlukan pembayaran baki secara sekali gus.
“Bila kita ada penangguhan sebegini, ia sekurang-kurangnya memberi satu kelegaan dan memastikan bahawa asas kepada para graduan yang baru memulakan kehidupan mereka dalam alam pekerjaan, itu kita boleh bagi satu kelapangan jangka masa panjang.
“Langkah itu juga lebih adil. Sebenarnya sistem ini lebih adil kepada lebih ramai graduan di luar sana,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri menerusi pembentangan Belanjawan 2017 turut mengumumkan peminjam berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan hanya dikenakan bayaran balik minimum RM50
Manakala, majikan yang membuat bayaran balik pinjaman PTPTN bagi pekerja diberikan potongan cukai, meliputi bayaran yang dibuat dari 1 Jan 2027 hingga 31 Dis 2028.






