
KUALA LUMPUR — Naib Ketua Wanita PKR, Rozana Zainal Abidin menyambut baik pembentangan Belanjawan MADANI 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menurutnya mengimbangi agenda pertumbuhan ekonomi dengan keperluan dan kesejahteraan rakyat.
Rozana berkata, belanjawan berjumlah RM459.8 bilion itu memberi penekanan kepada disiplin fiskal, pengukuhan ekonomi, perlindungan sosial serta usaha menangani tekanan kos sara hidup, ketika ekonomi global masih berdepan ketidaktentuan.
“Pembangunan negara tidak hanya dinilai melalui angka pertumbuhan, tetapi turut perlu diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dirasai oleh rakyat,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau turut menyambut baik peningkatan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM16 bilion serta langkah mengurangkan beban cukai individu.
Bagaimanapun, katanya, kejayaan belanjawan bergantung pada keberkesanan pelaksanaan dan sejauh mana bantuan yang diumumkan sampai kepada golongan yang memerlukan.
Dalam bidang pendidikan, Rozana berkata, peningkatan peruntukan Kementerian Pendidikan kepada RM69 bilion, kenaikan Bantuan Awal Persekolahan daripada RM150 kepada RM200 serta peruntukan RM870 juta bagi Rancangan Makanan Tambahan merupakan antara inisiatif yang perlu diberi perhatian.
Beliau berkata, usaha menaik taraf prasarana sekolah juga penting bagi memastikan murid mendapat akses kepada pembelajaran berkualiti dalam persekitaran yang selamat, selesa dan kondusif, tanpa mengira latar belakang keluarga atau tempat tinggal.
Mengulas kesejahteraan keluarga, Rozana berkata, penambahbaikan bantuan sara hidup dan peluasan pelepasan cukai bagi penjagaan selepas bersalin, penjagaan ibu bapa serta pendidikan anak mencerminkan perhatian terhadap tanggungjawab yang dipikul isi rumah.
“Tekanan kos sara hidup bukan sekadar angka dalam laporan ekonomi. Ia dirasai setiap kali ibu bapa menyediakan keperluan dapur, membayar perbelanjaan persekolahan dan mengurus keperluan ahli keluarga,” katanya.
Beliau berkata, bantuan yang diumumkan perlu mudah diakses, mempunyai syarat yang jelas dan benar-benar membantu meringankan beban kehidupan harian.
Rozana turut menekankan supaya inisiatif ekonomi membuka lebih banyak peluang kepada wanita, khususnya ibu tunggal, usahawan kecil dan wanita yang mahu kembali menyertai tenaga kerja.
Menurutnya, pemerkasaan wanita perlu melangkaui bantuan kewangan dengan merangkumi peningkatan kemahiran, akses kepada modal, perlindungan sosial dan peluang menjana pendapatan secara mampan.
“Wanita bukan hanya penerima manfaat pembangunan, tetapi turut menjadi penyumbang penting kepada kekuatan ekonomi negara,” katanya.
Rozana berkata, pendidikan yang baik, keluarga yang sejahtera dan wanita yang diperkasakan saling melengkapi dalam membina masa depan anak-anak serta mengukuhkan ekonomi keluarga dan masyarakat.
Menurutnya, ukuran kejayaan Belanjawan 2027 bukan hanya pada jumlah peruntukan, tetapi pada perubahan yang dapat dirasai rakyat, termasuk akses pendidikan yang lebih baik, keupayaan keluarga mengurus keperluan harian dan peluang lebih luas untuk wanita membina masa depan.






