
Oleh Nana Mohamad dan Tengku Majid
KUCHING – Pengumuman Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM1,500 kepada penjawat awam serta peningkatan Bantuan Awal Persekolahan daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid menerusi Belanjawan 2027 disambut baik oleh penerima yang menyifatkan inisiatif itu mampu meringankan beban kewangan mereka.
Seorang penjawat awam, Swazwani Ismail, 34, berkata beliau bersyukur dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dianggap sebagai penghargaan terhadap jasa dan sumbangan penjawat awam dalam melaksanakan tanggungjawab demi pembangunan negara.
Beliau berkata bantuan berkenaan sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangannya, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup dan perbelanjaan barangan keperluan harian.

“Saya melihat bantuan ini sebagai satu penghargaan terhadap jasa dan sumbangan kami dalam melaksanakan tanggungjawab demi pembangunan negara.
“Insentif seperti ini bukan sahaja membantu dari segi kewangan, malah meningkatkan motivasi dan semangat kami untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi TMP, hari ini.
Swazwani turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI atas perhatian terhadap kebajikan penjawat awam.
Sementara itu, suri rumah Hasiah Tawil, 59, menyifatkan peningkatan Bantuan Awal Persekolahan kepada RM200 bagi setiap murid sebagai satu kelegaan kepada ibu bapa, terutama ketika berdepan peningkatan harga barangan keperluan sekolah.
Beliau berkata walaupun peningkatan sebanyak RM50 dilihat tidak begitu besar, bantuan itu tetap memberi makna kepada keluarga yang perlu menyediakan pelbagai kelengkapan persekolahan anak-anak.

“Walaupun tambahan sebanyak RM50, ia tetap memberi makna kerana sekurang-kurangnya dapat membantu mengurangkan beban perbelanjaan keluarga dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak,” katanya ketika diminta mengulas pengumuman Belanjawan 2027.
Hasiah turut berharap bantuan berkenaan dapat diteruskan dan disalurkan lebih awal bagi membolehkan ibu bapa merancang perbelanjaan serta membuat persiapan persekolahan dengan lebih teratur.
Senada dengan Hasiah, ibu tunggal Raaipah Junin, 60, berkata pengumuman bantuan persekolahan itu amat bermakna dalam membantu golongan ibu bapa, khususnya keluarga berpendapatan rendah (B40).
Beliau berkata bantuan berkenaan dapat mengurangkan tekanan kewangan yang dihadapi ibu tunggal sepertinya dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak, termasuk pakaian seragam, kasut dan alat tulis.

“Saya berasa amat lega dan bersyukur kerana bantuan ini sangat bermakna dalam meringankan beban saya sebagai ibu bapa, khususnya untuk membuat persiapan persekolahan anak-anak.
“Saya amat menghargai usaha dan keprihatinan kerajaan dalam membantu mengurangkan beban kos sara hidup, khususnya bagi ibu bapa golongan B40,” katanya.
Raaipah turut berharap bantuan itu dapat diteruskan dan ditingkatkan pada masa akan datang bagi membantu kesejahteraan keluarga serta memastikan keperluan pendidikan anak-anak terus diberi perhatian.






