Pasaran buruh terus positif, kadar pengangguran turun kepada 2.9 peratus

PUTRAJAYA – Pasaran buruh negara terus menunjukkan perkembangan positif apabila kadar pengangguran menurun kepada 2.9 peratus pada Ogos 2026 berbanding tiga peratus pada Julai, dengan bilangan penganggur berkurang sebanyak 8,700 orang kepada 511,600 orang.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam kenyataan Statistik Tenaga Buruh bagi Ogos 2026 yang diterbitkan hari ini memaklumkan bilangan penduduk bekerja meningkat 0.2 peratus kepada 16.87 juta orang berbanding 16.85 juta orang pada bulan sebelumnya.

Bilangan tenaga buruh turut meningkat 0.1 peratus kepada 17.39 juta orang berbanding 17.37 juta orang pada Julai, manakala kadar penyertaan tenaga buruh naik kepada 71 peratus daripada 70.9 peratus.

Menurut DOSM, kategori pekerja yang merangkumi 74.9 peratus daripada jumlah penduduk bekerja mencatatkan peningkatan marginal sebanyak 0.1 peratus kepada 12.63 juta orang pada Ogos berbanding 12.62 juta orang pada Julai.

“Sehubungan itu, bilangan penduduk bekerja sendiri bertambah 0.2 peratus kepada 3.17 juta orang berbanding 3.16 juta orang pada Julai,” menurut kenyataan itu.

DOSM memaklumkan penganggur aktif yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan merangkumi 79.2 peratus daripada jumlah penganggur, dengan bilangannya menurun 1.8 peratus kepada 405,100 orang berbanding 412,600 orang pada bulan sebelumnya.

Dalam kalangan penganggur aktif, 64.2 peratus menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala mereka yang menganggur melebihi setahun merangkumi lima peratus.

Pada masa sama, bilangan penganggur tidak aktif yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia turut menurun 1.2 peratus kepada 106,500 orang berbanding 107,700 orang pada Julai.

Trend penurunan turut dicatatkan dalam kalangan belia apabila kadar pengangguran bagi mereka yang berumur 15 hingga 24 tahun susut 0.1 mata peratusan kepada 10.1 peratus.

Bilangan penganggur dalam kumpulan umur itu berkurang kepada 291,300 orang berbanding 292,500 orang pada bulan sebelumnya.

Bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun, kadar pengangguran turut menurun 0.1 mata peratusan kepada 6.3 peratus, manakala bilangan penganggur berkurang kepada 394,600 orang daripada 404,500 orang pada Julai.

Dalam perkembangan sama, bilangan penduduk di luar tenaga buruh menurun secara marginal sebanyak 0.1 peratus atau 4,500 orang kepada 7.11 juta orang pada Ogos.

Kerja rumah dan tanggungjawab keluarga menjadi penyumbang terbesar kepada kumpulan itu, iaitu 43.6 peratus, diikuti mereka yang bersekolah atau menjalani latihan sebanyak 40.2 peratus.

Baki 16.2 peratus berada di luar tenaga buruh atas sebab lain, termasuk persaraan dan hilang upaya.

DOSM berkata prestasi positif pasaran buruh yang berterusan terus menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

“Melangkah ke hadapan, peningkatan produktiviti pekerja melalui pemerkasaan kemahiran dan penggunaan teknologi adalah penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat,” menurut kenyataan itu.

Related Posts

PMX terbuka rakyat tanya intipati Belanjawan 2027

PUTRAJAYA – Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra, pada Jumaat dijadikan platform buat jemaah untuk bertanyakan mengenai intipati Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kos sara hidup, prasarana dijangka jadi keutamaan Belanjawan 2027 – Grace Lee

KOTA KINABALU – Bekalan elektrik yang stabil dan berterusan perlu menjadi keutamaan dalam Belanjawan 2027 bagi menyokong kesejahteraan rakyat serta merancakkan pertumbuhan ekonomi Sabah. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

PMX terbuka rakyat tanya intipati Belanjawan 2027

PMX terbuka rakyat tanya intipati Belanjawan 2027

Kos sara hidup, prasarana dijangka jadi keutamaan Belanjawan 2027 – Grace Lee

Kos sara hidup, prasarana dijangka jadi keutamaan Belanjawan 2027 – Grace Lee

Pasaran buruh terus positif, kadar pengangguran turun kepada 2.9 peratus

Pasaran buruh terus positif, kadar pengangguran turun kepada 2.9 peratus

Tiga premis diserbu, KPDN Sandakan sita daun terup tiruan bernilai RM55,079

  • By Ithma
  • October 9, 2026
Tiga premis diserbu, KPDN Sandakan sita daun terup tiruan bernilai RM55,079

Sindiket dadah antarabangsa guna jet peribadi elak kawalan ketat KLIA

Sindiket dadah antarabangsa guna jet peribadi elak kawalan ketat KLIA

Belanjawan 2027 ringankan kos, beban sara hidup masyarakat

Belanjawan 2027 ringankan kos, beban sara hidup masyarakat