
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima aduan berhubung penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menghasilkan dan menyebarkan gambar serta video berunsur seksual yang didakwa membabitkan pelajar dan guru sebuah sekolah di Kedah.
MCMC berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk Kementerian Komunikasi, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pendidikan (KPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjalankan siasatan.
Menurutnya, penyalahgunaan AI untuk menghasilkan atau menyebarkan kandungan seksual yang boleh menjejaskan keselamatan, maruah dan kesejahteraan mangsa, khususnya kanak-kanak, tertakluk kepada tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
“Penyedia perkhidmatan berlesen juga mempunyai kewajipan perlindungan kanak-kanak di bawah Seksyen 18 Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA),” menurut kenyataan itu.
MCMC berkata, jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan yang dilakukan terhadap kanak-kanak, hukuman penjara sehingga lima tahun boleh dikenakan, tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Sehubungan itu, MCMC mengingatkan orang ramai supaya tidak menghasilkan, memuat naik atau menyebarkan semula kandungan seksual yang melibatkan atau didakwa melibatkan kanak-kanak.
Menurutnya, perbuatan itu bukan sahaja boleh memudaratkan mangsa, malah berpotensi menjejaskan proses siasatan pihak berkuasa.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diseru menyalurkannya kepada pihak berkuasa melalui saluran sewajarnya,” menurut kenyataan itu.






