GEORGE TOWN – Pulau Pinang kembali dilanda jerebu apabila tiga daripada empat stesen pemantauan kualiti udara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, pagi ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Datuk Seri S. Sundarajoo berkata, berdasarkan data Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU tertinggi direkodkan di Seberang Perai iaitu 155 setakat pukul 7 pagi tadi.
“Dua lagi lokasi turut merekodkan bacaan tidak sihat iaitu Minden dengan 154 dan Seberang Jaya (152), manakala Balik Pulau merekodkan tahap bacaan sederhana iaitu 92.
“Keadaan ini menunjukkan kualiti udara di beberapa kawasan di negeri ini berada pada tahap kurang baik dan memerlukan perhatian orang ramai,” katanya di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru kepada semua pihak supaya tidak melakukan pembakaran terbuka atau sebarang aktiviti yang boleh menyumbang kepada pencemaran udara.
“Kerajaan negeri melalui agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan bacaan IPU dari semasa ke semasa dan mendapatkan maklumat terkini daripada JAS bagi memastikan orang ramai menerima maklumat tepat mengenai status kualiti udara,” katanya.






