
KUCHING – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PK) Negeri Sarawak terus mempergiat usaha membanteras pengedaran bahan penerbitan yang melanggar undang-undang, termasuk memastikan teks al-Quran yang berada di pasaran mendapat perakuan yang sah.
Pengarah Bahagian PK KDN Negeri Sarawak, Rafiqin Rais berkata, usaha berterusan itu dilaksanakan melalui pemeriksaan berkala, operasi penguatkuasaan dan program advokasi bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pematuhan undang-undang.
Menurutnya, pihak kementerian bertanggungjawab meneliti pelbagai bahan penerbitan termasuk buku, majalah, karya kartun dan teks al-Quran bagi memastikan kandungannya tidak bercanggah dengan peruntukan sedia ada.
“Antara bahan yang diberi tumpuan penuh termasuklah penerbitan atau barangan yang mempunyai kandungan serta simbol yang menyalahi undang-undang. Tindakan penguatkuasaan pula hanya dibuat berdasarkan hasil penelitian teliti serta peruntukan akta yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Setiausaha Persekutuan Sarawak, Datuk Ahmad Nadzri Mohd Hassan, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Rafiqin menjelaskan bahawa bahan yang dirampas akan disimpan sebagai eksibit (bahan bukti) sehingga sesuatu kes itu selesai, dan ia hanya akan dilupuskan mengikut prosedur yang ditetapkan selepas mendapat arahan pelucuthakan daripada pihak mahkamah.
Katanya, proses pelupusan naskhah al-Quran yang tidak lagi sesuai digunakan turut dilaksanakan melalui kaedah pemuliaan yang ketat bagi memelihara kesucian kitab suci berkenaan.
Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa KDN turut memperluaskan program pendidikan masyarakat menerusi inisiatif Jom Exchange Al-Quran (JEQ).
“Inisiatif ini membolehkan orang awam menukar naskhah al-Quran yang telah rosak, lama, atau tidak mendapat perakuan sah dengan naskhah yang baharu secara percuma,” jelasnya.
Tambah beliau, Bahagian PK KDN Negeri Sarawak juga aktif menyertai pameran dan program kesedaran anjuran pelbagai agensi kerajaan bagi memberi penerangan berhubung perbezaan antara teks al-Quran yang mendapat kelulusan KDN berbanding bahan tidak patuh syariah yang berada di pasaran.
Sementara itu, Rafiqin memaklumkan bahawa usaha memperluas jangkauan operasi Bahagian PK KDN di Sarawak sedang giat dilaksanakan, termasuk perancangan pembukaan pejabat cawangan baharu di Miri yang kini dalam proses penelitian.
Sebagai rekod, Bahagian PK KDN yang ditubuhkan secara rasmi pada 1 Mac 2018 berperanan memastikan bahan penerbitan yang diedarkan kepada masyarakat mematuhi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986.

