
KOTA MARUDU – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah mengemukakan tujuh aspirasi utama kepada Kerajaan MADANI untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027, khusus bagi memperkukuh peluang dan masa depan anak muda di Sabah.
Ketua AMK Sabah, Zaidi Jatil berkata, pihaknya berharap Belanjawan 2027 yang bakal dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 09 Oktober 2026 terus memberikan perhatian khusus terhadap pembangunan dan masa depan generasi muda di negeri ini.
“Pelbagai usaha dan inisiatif telah dilaksanakan Kerajaan Persekutuan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat, namun masih terdapat beberapa cabaran yang memerlukan perhatian serius.
“Antara cabaran berkenaan termasuk peluang pekerjaan, kos sara hidup, pendidikan, keusahawanan serta pembangunan infrastruktur luar bandar.
“Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran Sabah pada 2025 adalah 7.2 peratus berbanding kadar nasional sebanyak 3.0 peratus.
“Angka berkenaan menunjukkan Sabah masih berdepan cabaran besar dalam menyediakan peluang pekerjaan yang mencukupi kepada rakyat, khususnya golongan muda,” katanya kepasa wartawan The Malaysia Press pada Khamis.
Menurut Zaidi, AMK Sabah mahu kerajaan memperluas peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan anak muda menerusi usaha menarik lebih banyak pelaburan serta mewujudkan pekerjaan berkualiti.
“Sektor perindustrian, pelancongan, pertanian moden, teknologi dan ekonomi digital perlu diberikan tumpuan bagi menyediakan lebih banyak pilihan pekerjaan dengan pendapatan munasabah di Sabah.
“AMK Sabah mencadangkan kerajaan mempertimbangkan satu inisiatif khas yang menyasarkan pewujudan 10,000 peluang pekerjaan berkualiti untuk anak muda Sabah secara berperingkat melalui kerjasama kerajaan, agensi pembangunan dan sektor swasta,” ujarnya.
Tambanya, kerajaan perlu mewujudkan dana khas usahawan muda Sabah bagi membantu golongan yang mempunyai kemahiran dan idea perniagaan tetapi berdepan kekangan modal serta pembiayaan.
“Dana berkenaan perlu merangkumi geran permulaan, pembiayaan mikro, latihan perniagaan dan bimbingan pemasaran bagi membantu anak muda memulakan serta mengembangkan perniagaan.
“Keutamaan wajar diberikan kepada usahawan muda luar bandar yang terbabit dalam sektor pertanian, penternakan, perikanan, makanan, perkhidmatan dan perniagaan digital.
“Kita mahu anak muda bukan sahaja menjadi pencari pekerjaan, tetapi turut berupaya menjadi pencipta peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat,” jelasnya.
Tambanya lagi, pendidikan dan latihan kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu diperkukuhkan, termasuk memperluas bantuan pendidikan tinggi, biasiswa dan latihan kemahiran.
“Perhatian khusus perlu diberikan kepada anak muda daripada keluarga berpendapatan rendah serta mereka yang tinggal di kawasan pedalaman dan luar bandar.
“Lebih banyak pusat latihan kemahiran diwujudkan atau diperkasakan di Sabah, khususnya di kawasan yang jauh daripada institusi latihan sedia ada.
“Latihan yang ditawarkan mestilah bersesuaian dengan keperluan industri supaya anak muda mempunyai peluang pekerjaan yang lebih jelas selepas menamatkan pengajian,” kongsinya.
Dalam pada itu katanya, kerajaan perlu menangani kos sara hidup dan memperluas akses kepada perumahan mampu milik bagi membantu anak muda yang berdepan peningkatan kos sewa rumah, pengangkutan, makanan dan keperluan keluarga.
“AMK Sabah mencadangkan akses kepada perumahan mampu milik, skim pembiayaan rumah pertama serta bantuan bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukan diperluaskan.
“Selain itu, AMK Sabah juga berharap jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar dirapatkan menerusi penambahbaikan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air bersih, elektrik dan capaian internet.
“Belanjawan 2027 perlu terus mempercepat pembangunan infrastruktur asas khususnya di kawasan pedalaman seperti Kota Marudu, Pitas, Beluran, Tongod dan daerah lain yang memerlukan perhatian,” katanya.
Zaidi turut menekankan usaha memperkasa sukan, kepimpinan dan pembangunan belia dengan meningkatkan peruntukan bagi aktiviti belia serta kemudahan sukan di peringkat daerah dan luar bandar.
“Kemudahan seperti padang bola sepak, gelanggang futsal, bola tampar dan pusat aktiviti belia penting untuk menggalakkan gaya hidup sihat serta mencungkil bakat anak muda,” kongsinya.
Selain itu, beliau juga berharap agar agenda Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan memberikan manfaat secara langsung kepada generasi muda Sabah menerusi pembangunan ekonomi, pendidikan, infrastruktur dan peluang pekerjaan.
“MA63 bukan sekadar soal sejarah dan hak yang termaktub dalam perjanjian, tetapi juga berkaitan harapan untuk menikmati pembangunan yang lebih adil dan seimbang dalam Persekutuan Malaysia,” tegasnya.
Dalam pada itu, Zaidi berkata, pembangunan generasi muda perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang kepada masa depan negara, terutama mengambil kira cabaran kemiskinan di Sabah.
“Berdasarkan statistik kemiskinan DOSM bagi 2024, Sabah masih mencatatkan kadar kemiskinan mutlak tertinggi di Malaysia iaitu 17.7 peratus walaupun kadar berkenaan menurun berbanding 2022, justeru usaha membasmi kemiskinan dan memperluas peluang ekonomi perlu terus diperkukuh.
“AMK Sabah bersedia menjadi rakan strategik kerajaan dalam menyampaikan aspirasi, pandangan dan keperluan anak muda di peringkat akar umbi.
“Anak muda Sabah tidak meminta keistimewaan, tetapi mahukan peluang yang adil untuk membina masa depan. Kita mahu mereka mampu belajar, bekerja, berniaga dan berjaya di negeri sendiri tanpa perlu meninggalkan kampung halaman kerana kekurangan peluang,” jelasnya.
Zaidi berharap Belanjawan 2027 bukan sekadar dinilai berdasarkan jumlah peruntukan yang diumumkan, sebaliknya melalui perubahan sebenar yang dapat dirasai dalam kehidupan rakyat.

