
KOTA KINABALU – Pembukaan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Inanam Sentral melengkapkan pelaksanaan inisiatif 1 DUN 1 NADI di Sabah, dengan keseluruhan 132 NADI kini beroperasi di seluruh negeri ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, kewujudan NADI Inanam Sentral merupakan satu tambahan penting dalam memperluas akses masyarakat kepada kemudahan dan perkhidmatan digital, khususnya bagi penduduk di sekitar Inanam dan kawasan sekitar.
“Parlimen Sepanggar mempunyai empat buah NADI dan pemilihan lokasi yang dekat serta mudah diakses oleh masyarakat merupakan antara faktor penting bagi memastikan kemudahan yang disediakan benar-benar dapat dimanfaatkan oleh rakyat.
“Bagi Sabah yang mempunyai keluasan geografi dan taburan penduduk yang begitu luas, jaringan ini amat penting untuk memastikan lebih ramai rakyat dapat menikmati manfaat digital dengan lebih dekat,” ujarnya semasa berucap sempena Majlis Perasmian NADI Inanam Sentral, di sini, pada Khamis.

Menurut Mustapha, kejayaan sesebuah NADI bukan sekadar menyediakan bangunan, komputer dan internet, tetapi sejauh mana kemudahan serta programnya memberi manfaat dan membawa perubahan kepada masyarakat setempat.
“Saya berharap NADI Inanam Sentral dapat membantu anak-anak dan belia meningkatkan kemahiran digital, usahawan mengembangkan perniagaan serta masyarakat mendapat akses kepada perkhidmatan dan program yang mampu meningkatkan taraf hidup,” kongsinya.
Dalam pada itu, menurutnya, dalam beberapa siri lawatan ke NADI sebelum ini, beliau sendiri berpeluang melihat bagaimana kemudahan dan program yang disediakan dimanfaatkan oleh pelbagai lapisan masyarakat.
“Sebentar tadi, saya berpeluang melihat sendiri pameran usahawan NADI dan mendengar pembentangan daripada beberapa usahawan yang terlibat dalam Bootcamp Usahawan NADI Kota Kinabalu.
“Saya gembira melihat bagaimana NADI bukan sahaja menyediakan ruang pembelajaran, tetapi turut membantu usahawan tempatan memperkenalkan produk, meningkatkan keyakinan serta mengembangkan potensi perniagaan mereka,” katanya.

Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berharap kemudahan itu akan dijaga dengan baik dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat untuk jangka masa yang panjang serta menjadikannya pusat komuniti yang aktif, inklusif dan memenuhi keperluan setempat.
Pada majlis tersebut, kawasan Parlimen Sepanggar turut menerima sumbangan berjumlah RM128,600 daripada Perdana Menteri bagi membantu mangsa banjir baru-baru ini, di kawasan parlimen berkenaan.

