
LAWAS – Penggunaan teknologi dron dalam kerja-kerja pengapuran kini diperluas kepada komuniti pesawah di Lawas bagi membantu memulihkan tahap pH serta meningkatkan kualiti tanah sebelum bermulanya musim penanaman padi.
Inisiatif menerusi Program Pelaksanaan Kerja-Kerja Pengapuran Menggunakan Dron Pertanian di bawah Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) 2026 itu melibatkan liputan kawasan sawah seluas 118.5 hektar di daerah ini, termasuk di Kampung Lintang Baru, Trusan.

Penolong Pengarah Bahagian Institusi Peladang Jabatan Pertanian Sarawak, Karen Lenggiau Augustine Tujoh berkata, pelaksanaan aplikasi pengapuran menggunakan dron secara menyeluruh di Lawas ini merupakan projek rintis pertama seumpamanya yang digerakkan di Sarawak.
“Teknologi dron dapat membantu menjadikan pengurusan di kawasan sawah lebih cekap, terutamanya dari segi penjimatan tenaga, kos dan masa.
“Program ini juga membuka pendedahan baharu kepada pesawah tempatan untuk mempelajari dan mengadaptasi penggunaan teknologi moden bagi melonjakkan produktiviti sektor pertanian awam,” katanya.
Mengulas lanjut, Karen menjelaskan bahawa proses pengapuran adalah kritikal bagi memperbaiki struktur tanah berasid dengan membekalkan unsur penting seperti kalsium dan magnesium, selepas ujian tahap pH tanah disahkan oleh jabatan.

Sementara itu, Penolong Pengurus Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) Sarawak, Mohd Gadafi Mas berkata, inisiatif berkenaan merupakan salah satu komponen utama SIPP bagi membantu meringankan kos operasi yang ditanggung oleh petani.
Selain pengapuran, skim berkenaan turut menyediakan pelbagai sokongan input pertanian seperti baja tambahan NPK dan racun makhluk perosak.
“Tanah yang terlalu berasid atau bermasalah akan menyebabkan nutrien daripada baja sukar diserap oleh tanaman. Pengapuran kapur cecair ini membantu meningkatkan keupayaan tanah memegang nutrien, selain menyokong aktiviti mikroorganisma yang penting untuk tumbesaran padi.
“Sebelum ini, kaedah pengapuran menggunakan dron pernah diuji di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Daro, namun ia hanya melibatkan plot percubaan. Tahun ini, dengan bantuan inisiatif PPK Lawas, pelaksanaannya dapat diperluaskan secara menyeluruh,” jelasnya ketika menyampaikan taklimat pada Rabu.
Turut hadir menjayakan inisiatif tersebut ialah Pengerusi PPK Lawas, Paris Kaya; Pengurus PPK Lawas, Dison Tagal; Penolong Pegawai Pertanian Kanan Daerah Lawas, Doraup Mail serta Penolong Pegawai Pertanian, Policarp David Saet.

