
KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah dimaklumkan mengenai prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pelaksanaan tahanan rumah.
Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zamri Misman berkata, perkara itu dilakukan selepas Jabatan Penjara menerima makluman mengenai pelaksanaan tahanan rumah berkenaan.
“Jabatan Penjara sudah memaklumkan perincian kepada Datuk Seri Najib,” katanya selepas sesi taklimat media bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said di Parlimen, di sini hari ini.
Sebelum ini, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar pada 19 September lalu dilaporkan berkata, Jabatan Penjara dijangka mengeluarkan SOP bagi pelaksanaan tahanan rumah bekas Ahli Parlimen Pekan itu dalam masa terdekat.
Beliau berkata, SOP berkenaan akan memperincikan aspek lawatan, kawalan serta pemantauan pergerakan Najib sepanjang menjalani tahanan rumah.
Sementara itu, Azalina enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai proses pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Presiden UMNO berkenaan.
Beliau berkata, perkara itu perlu diajukan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.






