
KUALA LUMPUR – MyEG Services Bhd (MyEG) perlu melunaskan sepenuhnya tunggakan bayaran kepada kerajaan sebelum sebarang permohonan untuk menyambung semula operasinya boleh dipertimbangkan, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan kekal dengan pendirian bahawa tunggakan berkenaan perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum permohonan berkaitan diberi pertimbangan.
“Kita berpegang kepada apa yang telah dinyatakan sebelum ini. Kita sedang menunggu bayaran itu.
“Sebelum sebarang permohonan untuk menyambung semula operasi boleh dipertimbangkan, bayaran berkenaan perlu diselesaikan terlebih dahulu,” katanya, seperti dipetik berita tempatan hari ini.

Pada 5 Oktober lalu, Anthony memaklumkan perkhidmatan MyEG dan Zetrix AI Bhd sebagai ejen kutipan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) digantung selepas kedua-dua syarikat gagal menyerahkan hasil kutipan berjumlah RM314 juta kepada kerajaan bagi tempoh 19 Mei hingga 30 September.
Menurut beliau, tindakan penggantungan itu diambil selepas kedua-dua syarikat berkenaan gagal melunaskan tunggakan terbabit walaupun sebanyak 35 peringatan telah diberikan.
Katanya, beberapa siri libat urus turut diadakan pihak berkuasa dengan kedua-dua syarikat berkenaan sejak Mei lalu bagi menyelesaikan isu tunggakan tersebut.


